“Jam 1.30 Pagi Pun Ada Rakyat Telefon Minta Tolong, Mahathir Mampukah?”


Seramai 42,697 pengundi dalam Parlimen Langkawi harus sedar dan jelas tentang pemilihan wakil rakyat mereka dalam PRU14 kali ini. Rata-rata pengundi muda di sini seolah-olah terlupa akan hakikat itu dan berasa seronok di buai propaganda jahat Pakatan Harapan.

Mana tidaknya, Pakatan Harapan yang menggunakan simbol PKR telah mempertaruh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon mereka bagi merebut kerusi Ahli Parlimen Langkawi.

Sebagai seorang bekas Perdana Menteri selama 22 tahun, sudah tentu pertembungan di Langkawi merupakan yang paling popular dan dinanti-nanti oleh seantero dunia.

Jika pengundi mahukan populariti, sudah tentu boleh untuk kita memilih Dr Mahathir sebagai Ahli Parlimen Langkawi. Ini kerana berbanding Datuk Ir Nawawi Ahmad, nama Dr Mahathir jauh lebih terkenal seluruh dunia.

Namun hakikatnya di dalam PRU14 kali ini adalah untuk kita mencari wakil rakyat buat penduduk Langkawi. Wakil rakyat kepada sebuah pulau berstatus daerah yang lebih 90 peratus dihuni oleh bangsa Melayu dan tinggal di perkampungan.

Mana mungkin seorang ‘personaliti antarabangsa’ seperti Dr Mahathir mampu menjadi seorang wakil rakyat kampung yang mampu siang hingga malam bergelumang dengan kehidupan rakyat kampung.

Inilah yang ditekankan oleh penyandang jawatan itu iaitu Nawawi ketika wakil portal Tv14 menemuinya baru-baru ini.

“Orang Langkawi rakyat tempatan kena fikir, antara nak pilih wakil kepada rakyat, bukannya memilih pemimpin untuk negara. Wakil kepada rakyat di Langkawi mestilah orang yang mampu berkhidmat untuk masyarakat Langkawi. Bukan untuk berkhidmat kepada masyarakat Malaysia,” katanya pada sesi temubual eksklusif di Wisma Umno Langkawi, Pandak Mayah, Kuah.

Atas kesedaran itulah pengundi di Langkawi harus sedar bahawa mana-mana wakil rakyat mereka haruslah seorang anak tempatan yang bermastautin di kawasan diwakilinya sendiri.

“Untuk berkhidmat di Langkawi dia patut ada rumah di Langkawi. Sekarang ini dia (Mahathir) tiada rumah, hanya tidur di hotel. Datang sekadar dua hari dan balik ke Kuala Lumpur.

“Jadi bagaimana rakyat mahu jumpa kalau begitu? Seperti calon-calon dari Langkawi ini semuanya ada rumah di sini (Langkawi) dan kita boleh berkhidmat siang dan malam. Tidak kira waktu, kadang-kadang jam 12 malam orang cari kita… Pukul 1.30 pagi pun ada yang telefon,” ujarnya lagi.

Selain itu, Nawawi turut menyelar Dr Mahathir yang disifatnya telah ‘hilang kelayakan’ yang pertama untuk bergelar wakil rakyat di Langkawi.

“Bagi saya Tun (Mahathir) sudah mengurangkan kelayakannya yang pertama untuk jadi wakil kepada rakyat Langkawi,” katanya.

Pada 9 Mei ini, pengundi di Langkawi memiliki tiga calon untuk mereka pilih sebagai wakil rakyat. Sama ada nama besar Dr Mahathir yang berumah tangga di Seri Kembangan, Selangor atau penyandang Nawawi yang lahir di Bayas, Langkawi; ataupun calon PAS iaitu Zubir Ahmad yang juga merupakan anak tempatan.

Sumber: TV14

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com