Jalan Runtuh Merisaukan Penduduk Padang Sadang Baling


BALING: Penduduk di Kampung Padang Sadang, Jenalik Bongor di sini, bimbang dengan keadaan jalan runtuh akibat hakisan pada tebing yang berlaku akibat banjir dan hujan lebat di kawasan itu.

Mereka mendakwa, hujan lebat menyebabkan aliran air yang kuat dari kuari batu berdekatan menghakis tebing jalan hingga runtuh.

Seorang penduduk, Md Fadzil Abu Mansur,43, berkata jalan ke rumahnya tidak boleh dilalui oleh kenderaan dan keadaan itu juga mengundang bahaya kepada pengguna lain, terutamanya pada waktu malam.

"Parit di tepi jalan sudah tidak mampu menampung air yang banyak, terutama daripada kolam kuari batu dan melimpah ke penempatan penduduk.

"Sebelum ini berlaku runtuhan kecil sahaja, tetapi kali ini lebih teruk kerana banyak parit pecah dan tebing jalan juga runtuh.

"Saya bimbang berlaku kejadian buruk, terutama pada waktu malam kerana pengguna tidak nampak jalan yang rosak dengan keadaan kawasan yang gelap dan mengundang risiko buruk," katanya.

Md Fadzil berkata jalan itu juga dilalui penduduk setiap hari untuk ke kebun dan mengeluarkan hasil pertanian.

Beliau meminta pihak berkaitan dan syarikat yang menjalankan kuari batu untuk tampil melihat kesulitanpenduduk sekiranya masalah itu tidak diselesaikan.

"Malah pelajar sekolah, petani dan penduduk kampung yang melalui jalan itu mengundang bahaya sekiranya terjatuh.

"Saya berharap masalah ini dapat diatasi segera dan mencari kaedah yang sebaik-baiknya bagi menangani tanah runtuh apabila berlaku hakisan tebing selepas hujan lebat.

"Saya sudah berjumpa pihak yang berkenaan supaya membaiki jalan yang runtuh tetapi tidak mendapat perhatian," katanya. 

Sumber: BH

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com