Jakel Defence System Bina Kilang Peralatan Tentera


KUALA LUMPUR – Jakel Defence Systems Sdn Bhd merancang untuk melabur antara RM4.0 juta sehingga RM6.0 juta bagi membangunkan kilang pengeluaran produk-produk perlindungan balistik seperti perisai badan dan helmet di Malaysia tidak lama lagi.

Penyedia perkhidmatan untuk peralatan khusus itu akan bekerjasama dengan Revision Military dari Amerika Syarikat (AS), yang merupakan sebuah firma penyelesaian produk perlindungan tentera.

Pengarahnya, Saiful Izhar Senawi berkata syarikat tersebut dan rakan kongsinya sedang menunggu kelulusan daripada Institut Keadilan Negara bagi membangunkan sebuah kilang sama ada di Nilai, Negeri Sembilan atau Semenyih, Selangor.

Institut berkenaan merupakan sebuah agensi penyelidikan, pembangunan dan penilaian Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

“Kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyediakan kemudahan-kemudahan di kilang itu yang akan memiliki kapasiti bagi pembekalan di pasaran Malaysia dan Asia Tenggara,” katanya kepada Bernama pada Pameran Pertahanan dan Perkhidmatan Asia (DSA) bersama Pameran Keselamatan Antarabangsa Asia (Natsec) 2018.

Sementara itu, Pengurus Besar Jakel Defence System Lt Kol (B) Mohd Ariff Daud berkata, rancangan syarikat akan membuka pintu kepada syarikat-syarikat tempatan yang sedang mencari rakan kongsi.

Katanya, Jakel sedang menjalinkan perkongsian dengan pembuat kasut khusus, Hilman Authentic bagi mengeluarkan kasut taktikal yang khas.

“Jadi, kami memberikan peluang kepada semua pihak untuk membangunkan industri pertahanan tempatan dan global. Produk kami akan memenuhi keperluan khusus pengguna. Kami tidak menerima semua tetapi hanya memilih yang berkualiti sambil menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Sekarang ini, Jakel Defence System menawarkan pakaian tentera seperti sarung kaki yang kalis air, topi hutan, baju hujan serta peralatan ketenteraan lain seperti teropong penglihatan malam, beg dan jaket dalaman untuk pasaran di Asia Tenggara.

Ia juga mempunyai kemudahan penyelenggaraan, membaikpulih dan hak pembaikan utama bagi peralatan teropong malam bagi rantau ini. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com