Jabatan Penerangan Perlu Aktif Tangkis Fitnah, Tohmahan


GEORGE TOWN – Jabatan Penerangan perlu lebih aktif memerangi segala fitnah dan tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan di dalam laman sosial, kata Ketua Pengarah Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.

Beliau berkata pihak jabatan penerangan berperanan untuk menangkis dan memberi penjelasan berserta fakta terhadap tuduhan yang diputar-belit dan fitnah oleh pihak tertentu itu.

“Kebanyakannya (tohmahan dan fitnah) adalah persepsi ataupun perkara-perkara yang tidak patut. Maka inilah tanggungjawab jabatan penerangan untuk menangkis dan membetulkan fakta-fakta yang diketengahkan.

“Di samping itu pastikan rakyat memahami maklumat sebenar hasrat kerajaan dan dasar-dasar kerajaan melalui program-program evokasi… selain secara bersemuka dan juga dalam media sosial,” katanya pada majlis Jalinan Kasih Rakan Strategik 2018 di Kompleks Mutiara, Bayan lepas di sini, pada Isnin.

Ibrahim berkata selain daripada program- program pendampingan di lapangan, jabatan juga melaksanakan pengumpulan serta maklum balas daripada rakyat dan kerajaan .

“Kami sentiasa kutip (kumpul) semua perkara berkenaan untuk dimaklumkan kepada kerajaan… malah kami juga telah melakukan transformasi dalam gerak kerja kami khususnya menyediakan kandungan dan menerokai bidang digital serta secara bersemuka,”katanya.

Berhubung majlis yang dihadiri kira-kira 200 tetamu itu, Ibrahim berkata majlis itu bertujuan mengukuhkan ukhuwah sesama pesara dan bakal pesara jabatan itu serta pekerja sedia ada.– Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com