Isu Pendakwah Anti-Islam: Paderi Mohon Maaf Mufti


SYUKUR… Seorang paderi tempatan memohon maaf kepada Mufti Singapura dan pemimpin Islam setempat berhubung komen anti-Islam oleh seorang pendakwah Kristian dari luar negara.

Paderi Yang Tuck Yoong merupakan pengasas Gereja Masyarakat Cornerstone, yang menganjurkan persidangan melibatkan pendakwah kontroversi dari Amerika Syarikat (AS), dikenali sebagai Lou Engle itu pada bulan lalu.

Pendakwah tersebut didakwa oleh sebuah penerbitan atas talian sebagai mengancam berlaku “perpecahan antara penganut Kristian dengan masyarakat Muslim tempatan” menerusi program ceramah dikelolakan gereja itu.

Berkunjung ke pejabat Hab Islam Singapura yang menempatkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) semalam, Tuck Yoong berucap kepada sekumpulan 13 pemimpin Melayu/Islam termasuk Mufti Negara, Dr. Fatris Bakaram.

Paderi itu berjanji bahawa Engle tidak akan diundang lagi ke Singapura. Ia merupakan kali ketiga pendakwah Kristian itu menyampaikan ceramah di Singapura dan dikenali atas kelantangannya menyuarakan pandangan.

“Kami tidak menerima sama sekali ucapan yang saling memburuk-burukkan antara rakyat. Kami mahu melangkah ke hadapan dengan pemahaman lebih dalam menjadikan Singapura negara inklusif dan harmoni untuk semua.”

Tuck Yoong selanjutnya menambah: “Secara peribadi saya mahu berbanyak-banyak meminta maaf kepada Mufti dan para anggota MUIS bagi ulasan tidak sensitif yang sudah dibuat oleh beliau. Saya memohon maaf dari anda.”

Dalam pada itu, menurut Fatris, permohonan maaf tersebut ikhlas dan para pemimpin Melayu/Islam Singapura mahu melangkah ke depan untuk menjalin hubungan lebih membina dan sihat dengan komuniti agama-agama lain.

Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam satu kenyataan terkini dikirimkan kepada media semalam juga mendedahkan bahawa “Pihak polis sudah meminta Engle supaya kembali semula ke Singapura untuk disoal siasat lebih terperinci.

“Memandangkan siasatan sedang dijalankan, polis tidak dapat memberikan komen lanjut,” menurut kenyataan SPF itu lagi. Engle meninggalkan Singapura tidak lama selepas persidangan Kingdon Invasion berakhir pada ketika itu.

Dalam pada itu, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr. Yaacob Ibrahim menghargai tindakan paderi itu meminta maaf dan bertanggungjawab kerana mengundang Eagle menyampaikan ceramah di Singapura.

“Kata-kata yang disampaikan penting dan kenyataan yang mencetuskan perbalahan serta memburuk-burukkan pelbagai masyarakat tiada tempat sama sekali di Singapura,” menurut beliau menerusi laman sosial Facebooknya.

“Kesediaan kita menerima permohonan maaf mencerminkan cara Singapura dan apa yang penting adalah kita terus junjung sikap saling hormat menghormati dan memelihara keharmonian demi kebaikan bersama,” tambah Yaacob.

Sementara itu media tempatan turut melaporkan, Setiausaha Parlimen bagi Ehwal Dalam Negeri, Amrin Amin juga mengulas dengan berkata bahawa beliau “berasa gembira bahawa Tuck Yoong sudah meminta maaf secara terbuka”.

“Ada harapan bagi kita jika kita ada keberanian untuk bersemuka dengan kesilapan kita,” tambah Amrin yang juga menekankan bahawa tiada tempat bagi komen pecah belah masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama.

Permohonan maaf itu dibuat setahun selepas Imam Nalla Mohamed Abdul Jameel Abdul Malik, juga meminta maaf kepada para pemimpin berlainan agama kerana komen: “Bantulah kami daripada golongan Yahudi dan Kristian”.

Imam tersebut yang berasal dari India itu sudah bekerja di Singapura selama tujuh tahun. Beliau bagaimanapun dikenakan hukuman denda S$4,000 (kira-kira RM11,786) dan kemudian dihantar balik ke negara asalnya.

Kes berkenaan merupakan kali pertama seumpamanya di Singapura melibatkan seorang pemimpin agama yang didakwa di mahkamah atas menyebarkan ajaran berbaur tidak wajar. 

Sumber – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com