Isu Merajuk: Di Mana Matlamat Perjuangan Kamu?


KUALA LUMPUR - Isu merajuk kerana tidak dipilih sebagai calon pilihan raya tidak akan timbul jika seseorang individu itu mempunyai jiwa perjuangan parti dan berniat berkhidmat untuk rakyat, kata Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mansor Mohd Noor.

Tegasnya, sikap berkenaan turut memperlihatkan sejauh mana matlamat seorang ahli parti sama ada untuk kepentingan diri atau masyarakat. 

"Pengalaman saya sebelum pencalonan okay lagi. Namun selepas pencalonan, memang nama yang naik Alhamdulillah, nama jangka naik tetapi tak naik bermasalah, nama baharu naik gembira tetapi tidak tahu akan cabarannya lagi.

"Sepatutnya isu ini tidak timbul sebab kamu datang nak beri khidmat, tetapi apabila nama lain naik, jadi isu lain. Oleh itu, di mana matlamat perjuangan kamu? Sejauh mana parti membina jiwa perjuangan dalam kalangan ahli-ahlinya? Kenapa kamu boleh gadaikan parti dan apatah lagi berkorban tentang rakyat kalau kamu tidak dicalonkan?," katanya semasa menjadi tetamu pada program Malaysia Memilih 2018 di Astro AWANI.

Menurutnya, politik merajuk dan memujuk bukan perkara baharu terutama selepas pengumuman penamaan calon pilihan raya.

"Bagi saya siapa patut jadi calon sama ada muka lama atau baharu, dia perlu disokong. Inilah yang pelik, sebab kamu nak berkhidmat pada masyarakat tetapi isu masyarakat sudah hilang," katanya lagi.

Tegas beliau, mereka yang merajuk kerana tidak dicalonkan sebenarnya tidak sedar bahawa banyak lagi peluang dan ruang lain yang sedang menanti.

"Siapa yang memegang jawatan tidak kira dia adalah ketua bahagian, pemuda atau timbalan sebenarnya ruang 'kek' negara untuk diagih kepada kamu melalui jawatan dalam jentera kerajaan cukup luas. Maka tiada sebab untuk merajuk, mahu dipujuk apa lagi cah keting nak bunuh parti," tambahnya.

Malah katanya, sikap berkenaan turut memberi kesan kepada pergerakan jentera parti.

"Yang saya hairan, parti-parti politik apabila seorang calon itu sudah bertanding begitu lama, tetapi tiba-tiba nama orang lain (dinamakan calon) maka satu jentera pilihan raya itu boleh terhapus. Cuba bayang kalau nama-nama baharu datang atau nama-nama muda datang, sudah pasti pergerakan pilihan raya parti akan bermasalah," tambah beliau.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com