Isu Ketua Umno Bahagian Positif Dadah, Tindakan Mungkin Diambil - TPM


KUALA KRAI - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan rasa kesal berhubung penahanan seorang ketua Umno bahagian selepas didapati positif dadah dalam satu serbuan di pusat karaoke, baru-baru ini.

Timbalan perdana menteri itu berkata, isu tersebut akan dibincangkan bersama presiden parti mengenai kemungkinan tindakan yang boleh diambil terhadap suspek.

"Kita akan bincangkannya semasa pertemuan dengan Perdana Menteri mengenai kemungkinan tindakan yang boleh diambil berdasarkan perlembagaan dan undang-undang parti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program bertemu dengan rakyat di sini, Selasa.

Timbul spekulasi mengenai suspek yang bergelar Datuk itu akan bertanding bagi kerusi parlimen pada pilihan raya umum tidak lama lagi.

Dilaporkan, suspek ditahan di sebuah pusat karaoke di Jalan Imbi, Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 2 pagi Isnin.

Serbuan dijalankan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan maklumat mengenai aktiviti pusat hiburan tanpa lesen.

Sumber berkata, ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine (syabu) dan amphetamine.

Sumber turut mendedahkan bahawa serbuan dilakukan terhadap kira-kira 10 orang, termasuk dua wanita, di dalam bilik karaoke tersebut.

Ketua bahagian itu dibawa ke ibu pejabat polis Dang Wangi untuk siasatan lanjut.

Dia kemudian dibebaskan dengan ikat jamin dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com