Isteri Cemas Suami 'Kurang Sihat' Lari Masuk Hutan


GEORGETOWN - Seorang lelaki dipercayai mengalami masalah kesihatan hilang di dalam hutan selepas melarikan diri masuk ke hutan tersebut dalam kejadian 7.48 malam semalam.

Jurucakap bomba berkata, mangsa berusia 45 tahun itu dikatakan melarikan diri masuk ke hutan di Jalan Teluk Awak, berdekatan Taman Negara Teluk Bahang di sini.

Tambahnya, selepas menerima panggilan kecemasan, beberapa anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Bahang dikejarkan ke kawasan hutan terbabit.

"Kita menerima panggilan dari isteri mangsa mengatakan dia telah melarikan diri masuk ke dalam hutan melalui tanah perkuburan. Satu operasi mencari dilancarkan kerana bimbang mangsa tersesat, tambahan pula, dia tidak dapat dihubungi kerana tidak membawa telefon bimbitnya.

"Setelah operasi mencari dilancarkan, mangsa ditemui kira-kira jam 9.10 malam dalam keadaan selamat. Mangsa dijumpai kira-kira 300 meter dari jalan keluar di sebuah rumah tidak berpenghuni yang terletak di atas bukit," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, mangsa dibawa ke klinik berdekatan untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Operasi pencarian ditamatkan kira-kira jam 9.40 malam semalam.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com