Impian Anak-Anak OKU Bercuti Ke Korea Selatan Musnah Akibat Ditipu Syarikat Pelancongan


KUALA LUMPUR - Impian anak-anak Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada Program Pendidikan Khas Integrasi, Pulau Pinang untuk melancong ke Jeju Island Korea Selatan musnah apabila ditipu oleh sebuah syarikat pelancongan yang menawarkan pakej percutian murah.

Perkara yang sama turut dirasai oleh 38 kumpulan pengadu yang rata-rata telah menanggung kerugian hampir RM400 ribu ringgit kerana teruja dengan pakej murah serendah RM999 selama 3 hari 2 malam yang ditawarkan oleh MS JOM TRAVEL yang tular di media sosial.

Lebih menyedihkan ejen pelancongan yang dikendalikan oleh seorang lelaki beperwatakan warak bernama Mohd Sallehuddin Ismail yang berpusat di Shah Alam itu turut memperdaya mangsa agar membayar deposit sebanyak RM500 dan melangsaikan baki keseluruhan pada dua minggu sebelum tarikh berangkat. 

Menurut mangsa semua urusan pembayaran dibuat secara atas talian, namun keadaan mula bertukar pelik apabila dua hari sebelum tarikh berangkat pihak syarikat menghubungi mangsa dengan mengatakan percutian tersebut terpaksa ditunda dengan alasan tidak masuk akal seperti tukaran mata wang yang tinggi, serta pihak syarikat tidak boleh menempah hotel dan tiket penerbangan atas sebab-sebab tertentu.

Salah seorang mangsa, Mona Dollah memberitahu dia ada meminta syarikat tersebut untuk memulangkan wangnya namun pelbagai alasan diberikan sehinggalah dia mengugut untuk membuat laporan polis.

“Dia pujuk saya dengan memberikan sekeping cek, namun bila saya tunaikan di bank ternyata ianya cek tendang. Saya hubunginya sekali lagi dan sekali lagi dia memberikan saya cek, namun dia suruh saya tunaikan cek tersebut selepas tiga bulan. Waktu tu memang saya pelik. Takkanlah duit saya pun dia tak mampu pulangkan balik, rupa-rupanya memang ramai dah kena tipu.”

Perkara yang sama turut dikongsi oleh guru Pendidikan Khas Pulau Pinang, Nurain Abdul Halim yang mendakwa perbuatan syarikat tersebut amat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab.

“Kasihan pada anak-anak OKU yang tak berdosa ini. Tergamak mereka buat macam ni. Takkanlah mereka tak fikir langsung pasal halal haram. Saya dan beberapa orang guru lain terpaksa pula terangkan pada ibu bapa mereka tentang keadaan sebenar. Kalau nak tipu pun janganlah libatkan wang ringgit dan ragut keseronakan anak- anak yang tak berdosa ini. Simpatilah pada mereka.”

Menurut kesemua mangsa pihak syarikat MS JOM TRAVEL ada menghubungi mereka dan bersetuju untuk membayar balik kesemua wang milik mangsa, namun setelah menunggu hampir setahun bayaran yang dijanjikan masih belum ditunaikan. Laman rasmi dan iklan promosinya di media sosial juga telah ditutup dan tidak boleh dilayari.  Kesemua mangsa akhirnya bersepakat untuk membuat laporan polis.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com