Ibu Rindu Anak Hilangkan Diri 15 Tahun


KUALA LUMPUR: "Sudah kira-kira 15 tahun abang menghilangkan diri sehingga mak pernah hampir berputus asa dan menganggap dia sudah meninggal dunia," kata Andera Che Ibrahim, 36.

Sepanjang tempoh itu, beliau berkata, abangnya yang juga anak sulung, Azman Ibharim, 42, langsung tidak pulang atau menghubungi keluarga selepas dipercayai berkecil hati kerana dimarahi ibu mereka.

Katanya, kali terakhir Azman pulang ke rumah keluarga mereka di FELDA Jelai 2, Gemas, Negeri Sembilan, ialah pada November 2003.

Difahamkan ketika itu, Azman bekerja sebagai kelindan lori di Terengganu dan hanya pulang ke kampung empat atau lima bulan sekali.


"Abang pulang selama beberapa hari. Itulah kali terakhir dia berjumpa mak dan ayah di kampung.

"Saya sendiri kali terakhir berjumpa dengannya pada Julai 2003 ketika abang pulang ke Gemas untuk menghadiri majlis perkahwinan saya. Selepas itu, kami langsung tidak berjumpa hingga kini," katanya yang datang ke Balai Berita di sini.

Andera berkata, selepas beberapa tahun Azman menghilangkan diri, ibu mereka, Siti Aminah Ab Razak, 61, dan bapa, Che Ibrahim Hamad, 62, hampir berputus asa mencari serta menunggu kepulangannya.

Bagaimanapun beberapa bulan lalu, katanya, mereka menerima khabar daripada jiran sekampung memaklumkan terjumpa Azman di Kajang, Selangor.

"Mak begitu teruja dan berharap dapat bertemu semula dengan abang kerana terlalu merinduinya. Namun, kami hilang punca untuk mencari atau menghubungi abang," katanya.

Katanya, mereka ada membuat semakan dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan alamat terkini tetapi hampa kerana Azman masih menggunakan alamat lama di Gemas.

Justeru, Andera berharap Azman atau sesiapa mengenali dan ada maklumat mengenai abangnya itu menghubungi beliau melalui talian 010-3220086 atau ibu (013-6503361).

Sumber – BH

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com