Ibu Bapa Aznil Terharu Kejayaan Anak Di Gold Coast


ALOR SETAR – Ibu bapa atlet angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin, yang berjaya memungut pingat emas acara 62kg pada temasya Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, terharu dan bangga dengan kejayaan anak mereka itu.

Bidin Yaccob, 50, dan Haslina Hamzah, 46, berkata mereka turut sama menyaksikan kejayaan anak kedua daripada empat adik beradik yang dipanggil ‘Bang Ngah’ itu menerusi televisyen di gerai makan bersama ahli keluarga yang lain.

Haslina berkata sepanjang tempoh hampir dua jam itu, bacaan doa tidak pernah lekang daripada mulutnya yang mendoakan supaya Muhamad Aznil, 23, memenangi acara 62kg sekali gus mengalahkan atlet Papua New Guinea, Morea Baru, yang memberikan saingan sengit kepadanya.

“Saya dan suami berasa lega kerana usaha keras dia berhasil. Saya juga berterima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mendoakan kejayaan anak saya sehingga berjaya menyumbang emas,” katanya kepada pemberita di sini, pada Khamis.

Dengan kejayaan itu, Muhamad Aznil berjaya meraih pingat emas kedua buat Malaysia selepas membuat angkatan seberat 288kg menerusi angkatan seberat 126kg bagi acara snatch manakala bagi acara clean & jerk, beliau mengangkat 162kg bebanan.

Haslina berkata Muhamad Aznil menunjukkan minat dalam sukat angkat berat sewaktu di tingkatan satu semasa di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Anum Tunku Abdul Rahman dan beliau serta keluarga sentiasa memberikan dorongan serta semangat padu kepadanya.

“Dia memang berminat dalam sukan ini dan bercita-cita untuk sampai ke Sukan Olimpik tetapi saya tetap bersyukur dengan pencapaiannya di Sukan Komanwel. Banyak suka duka sepanjang dia berada dalam sukan ini tetapi saya dan suami sentiasa memberi sokongan penuh kepadanya,” katanya.

Sementara itu, Haslina berkata Muhamad Aznil ada menyatakan hasrat untuk membawa dia dan suaminya menunaikan umrah sekiranya berjaya memenangi pingat emas pada Sukan Komanwel ini namun akan memikirkan tentang perkara itu selepas anaknya pulang nanti. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com