Hasilkan Inovasi Pengurusan Sumber Air Atasi Iklim


KANGAR – Semua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) diminta bekerjasama menghasilkan inovasi pengurusan sumber air secara lestari bagi menjamin sektor pertanian tidak terjejas akibat perubahan iklim global yang tidak menentu.

Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata perubahan iklim turut mempengaruhi taburan hujan selain menjejaskan sumber air.

“Bagi mengimbangi sumber bekalan air yang terhad, perancangan jangka panjang adalah perlu dan ini boleh dilakukan dengan adanya teknologi atau inovasi berkesan.

“Kerjasama bersepadu ini mesti memfokuskan kepada usaha mengekalkan sumber air supaya pengeluaran makanan negara tidak terjejas,” katanya ketika merasmikan persidangan tahunan Jabatan Pengairan dan Saliran ke-22 (MANCO ke-22) di sini, pada Isnin.

Persidangan bertemakan ‘Innovative and Sustainable Agri-Water Management: Adapting To A Variable and Changing Climate’ dianjurkan MoA, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis dan Persekutuan Kebangsaan Bagi Pengairan dan Saliran Pertanian Malaysia (MANCID).

Ismail berkata perubahan tidak menentu iklim juga menyumbang kejadian bencana alam seperti banjir serta kemarau dan secara langsung menjejaskan bekalan makanan negara dan paling menerima kesan ialah masyarakat petani di luar bandar. - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com