Hasil Perbincangan Najib Dan Joko, 2 Lagi Nelayan Malaysia Dibebaskan


KOTA BHARU - Dua lagi nelayan Malaysia yang ditahan di Indonesia sejak dua tahun lalu kerana menceroboh perairan negara itu dibebaskan, hasil kesepakatan dicapai kedua-dua pemimpin negara iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia, Joko Widodo.

Leong Bian Seng, 61, dari Dungun, Terengganu yang ditahan di Pengkalan Pengawasan Sumber Daya Kelautan dan Perikanan (PSDKP) Batam sejak 2016 dibebaskan semalam dan dijangka tiba di tanah air pada malam semalam.

Sementara itu, Chia Kee Chan, 52, dari Sekinchan, Selangor yang ditahan di Rumah Tahanan Negara Labuhan Deli, Medan dibebaskan hari ini dan dijangka tiba di tanah air hari ini.

Mereka merupakan antara enam nelayan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Indonesia sejak dua tahun lalu kerana menceroboh perairan negara itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pembebasan itu adalah hasil kesepakatan dicapai Perdana Menteri dengan Presiden Indonesia semasa Rundingan Tahunan Ke-12 Malaysia-Indonesia,l di Kuching, Sarawak, November lalu.

“Berikutan kesepakatan itu, saya bertemu Duta Indonesia Ke Malaysia, Rusdi Kirana pada 4 Januari di ibu negara dan Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti pada 11 Januari di Jakarta, untuk membincangkan proses terbabit dengan lebih terperinci.

“Susulan itu, pada 15 Februari lalu, salah seorang nelayan iaitu Low Siang Huat, 59, dari Pulau Ketam, Selangor telah dibebaskan.

“Kos menguruskan proses pembebasan, dokumentasi, perjalanan dan perbelanjaan untuk membawa kesemua nelayan pulang ke Malaysia ditanggung sepenuhnya oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Khas Kepada Pesawah Kada di Dataran Kada, Kok Lanas, di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa serta Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Datuk Md. Alwi Che Ahmad.

Menurut Ahmad Shabery, dengan pembebasan dua lagi nelayan terbabit, terdapat tiga lagi nelayan Malaysia yang masih berada dalam tahanan pihak berkuasa Indonesia.

“Mereka ialah Kamaruzaman Awi, 47, dari Dungun dan Abdul Rashid Nik, 53, dari Kuantan yang masih ditahan di Penjara Lapas Permasyarakatan Tanjung Pinang Batu 18, Kepulauan Riau serta Mahabob Hasimat, 55, dari Pontian yang ditahan di Rumah Tahanan Negara Tanjung Pinang.

“Pihak kementerian dan Kedutaan Malaysia di Indonesia akan terus membuat langkah susulan proses pembebasan nelayan-nelayan berkenaan bagi membolehkan mereka segera pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat,” katanya. 

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com