Hari Pengundian: Mahathir Hina SPR, Yang di- Pertuan Agong?


Dakwaan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyatakan bahawa hari pembuangan undi yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari kerja (Rabu) sebagai cubaan untuk mengurangkan jumlah undi rakyat terhadap pembangkang adalah tidak benar.

Perlu diingat bahawa pengundi atau penyokong Barisan Nasional (BN) juga terjejas sekiranya hari tersebut tidak diisytiharkan sebagai cuti umum. 

Tulisan Dr Mahathir dalam laman blognya, Chedet.com disifatkan sebagai suatu tuduhan palsu dan tidak benar sekaligus menafikan kemampuan sebuah suruhanjaya yang mendapat pekenan daripada Seri Paduka.

Berikutan dakwaan berupa fitnah itu Gabungan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM) hari ini  membuat laporan polis.

"Bukan sahaja pembangkang sahaja, bahkan ahli - ahli BN dan UMNO juga turut terjejas. Jadi, atas alasan apa kononnya Perdana Menteri dituduh telah mempengaruhi keputusan SPR?" kata Pengerusi GAUM,  Datuk Zulkarnain Mahdar dalam satu sidang media di Balai Polis Sri Petaling, hari ini.

SPR telah menetapkan bahawa 9 Mei depan sebagai tarikh pengundian bagi PRU-14 manakala, tarikh penamaan calon pula jatuh pada 28 April ini.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah berkata, 5 Mei pula diputuskan untuk hari pengundian awal dan tempoh berkempen untuk pilihan raya kali ini adalah selama 11 hari. 

Dalam isu yang sama, Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek yang dipetik daripada Utusan Malaysia berkata, kesemua parti yang akan bertanding perlu menghormati tarikh ditetapkan SPR.

Ini kerana agensi itu sudah matang dalam membuat timbang tara dan sudah pun melalui 13 pilihan raya umum sebelum ini.

Katanya, cakap-cakap yang mempertikai keputusan itu bukan sahaja memberikan tekanan kepada SPR malah turut menafikan kemampuan SPR sebagai sebuah suruhanjaya bebas yang mendapat pekenan daripada Yang di- Pertuan Agong.

Kata Dr. Abdul Halim, Perdana Menteri kerajaan sementara sekalipun tidak boleh buat apa-apa untuk mengubah keputusan ini dan hari mengundi pada hari Rabu sebenarnya tidak memberikan kelebihan pada mana-mana pihak sekalipun. 

“Kononnya ia adalah agenda untuk menyekat rakyat daripada balik ke kawasan untuk membuang undi. Mana kita tahu yang tidak dapat balik itu akan memangkah BN atau PKR,” katanya kepada akhbar arus perdana itu.

Namun bagi memudahkan pengundi, kerajaan Persekutuan telah mengisytiharkan hari Rabu 9 Mei depan sebagai cuti umum. - Kedahnews.com 


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com