Hanya Tukang Canang Berita Palsu Saja Akan Melatah, Bantah


ALOR SETAR - Individu di negara ini tidak sewajarnya gundah-gulana dengan Akta Anti Berita Tidak Benar 2018 yang diluluskan Dewan Rakyat baru-baru ini sekiranya mereka tidak membuat atau menyebarkan berita palsu.

Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, sebaliknya mereka yang membantah akta berkenaan mungkin takut apabila ia dikuatkuasakan ekoran selama ini mereka selalu menabur berita tidak benar kepada masyarakat.

"Kenapa kita perlu bimbang sekiranya kita bukan jenis yang suka membuat atau menyebar berita palsu?

"Maknanya, jika mereka yang tidak bersetuju dengan Akta Anti Berita Tidak Benar, maka mereka itulah yang penyebar berita palsu... Mereka takutlah (bila ia dikuatkuasan). Sebab itulah mereka membantah," kata Ahmad Bashah kepada Kedahnews.com pada satu sidang media sejurus mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri, di sini semalam.

Ahmad Bashah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian pihak Pakatan Harapan yang membantah dan berikrar akan memansuhkan akta tersebut sekiranya berkuasa di negara ini.

Selain itu, tindakan Ahli-Ahli Parlimen PAS yang memberi undi menyokong Akta Anti Berita Tidak Benar itu juga dikecam keras pihak Pakatan Harapan dan menuduh mereka bersekongkol dengan UMNO atas sokongan tersebut.

Pakar-pakar psikologi dunia menjelaskan bahawa manusia semulajadinya memang tertarik kepada berita-berita kontroversi, negatif dan menentang arus, namun tidak peduli kepada kebenaran maklumat yang disebarkan.

Dunia maklumat tanpa sempadan hari ini menyaksikan penularan berita-berita palsu semakin menjadi-jadi sehingga mencetus kekeliruan masyarakat dan mencetus ketegangan di seluruh dunia.

Ekoran itu banyak negara dunia termasuk Malaysia dan Singapura telah mengambil langkah mengekang berita-berita tidak benar khususnya menerusi media sosial daripada terus menjadi budaya negatif yang merosakkan budaya pemikiran masyarakat.

"Akta Anti Berita Tidak Benar itu adalah untuk menyekat berita palsu. Jadi, kenapa perlu takut jika tidak membuat berita palsu?," sindir Ahmad Bashah lagi.

Rasulullah SAW dalam hadis-hadis baginda yang disahkan sahih memberi amaran kepada umat Islam tentang budaya fitnah yang akan berleluasa di akhir zaman yang menjadi salah satu petanda hari kiamat yang menjelang tiba. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com