Hamidin Tak Tanding Jawatan Timbalan Presiden MOM


KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin membuat keputusan untuk tidak bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Hamidin yang dilihat sebagai pilihan untuk mengisi jawatan Presiden FAM bagi penggal 2018-2021 ketika kongres yang dijadualkan berlangsung pada 14 Julai ini, berkata keputusan itu dibuat supaya dapat memberikan tumpuan dan fokus sepenuhnya terhadap bola sepak negara.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dan juga mendapatkan nasihat daripada bekas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, saya secara rasmi membuat keputusan untuk tidak akan bertanding merebut jawatan itu pada pemilihan yang akan berlangsung pada 5 Mei ini.

Biarpun terdapat spekulasi media sebelum ini bahawa ada beberapa persatuan sukan mahu mencalonkan nama saya bagi jawatan berkenaan, saya ingin menyatakan di sini yang saya buat masa ini memang tidak berminat untuk memegang apa-apa jawatan dalam MOM,” katanya menerusi catatan terbaharu di laman Facebook rasmi FAM, semalam.

Kerusi panas FAM itu menjadi kosong apabila Tunku Ismail secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya pada 25 Mac lepas dengan mencadangkan Hamidin sebagai individu paling layak untuk menerajui badan induk bola sepak negara itu.

Dengan keputusan Hamidin itu, perebutan untuk jawatan Timbalan Presiden MOM dijangka antara Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Setiausaha Kewangan Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.

Kerusi timbalan presiden MOM menjadi kosong apabila penyandangnya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria tidak mahu mempertahankan jawatan itu kerana bakal dicalonkan sebagai Presiden MOM bagi menggantikan Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar yang mahu melepaskan jawatannya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com