Hak SPR Tentukan Hari Pengundian – Abdul Hadi


KUANTAN – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai hak untuk menetapkan hari pengundian pada bila-bila masa termasuk pada Rabu.

Beliau berkata apa yang penting ialah rakyat mempunyai kesedaran untuk menunaikan tanggungjawab mereka memilih pemerintah negara dan jentera parti menggerakkan kesedaran pulang mengundi dalam kalangan penyokong.

“Jangan kata dia (SPR) buat begini, begitu. Kita tak mahu campur kerana itu hak dia. Dia nak adakan hari apa, kita tetap akan mengundi. Dia buat hari Jumaat sekalipun, bukan sepanjang masa kita solat Jumaat… boleh pergi mengundi,” katanya.

Abdul Hadi berkata demikian pada Program Amanat Pilihan Raya PAS Teraju Pahang di Cenderawasih di sini malam tadi, yang turut dihadiri Pesuruhjaya Pas negeri, Rosli Jabar dan timbalannya, Andansura Rabu.

Semalam, SPR mengumumkan 9 Mei sebagai hari pengundian yang menimbulkan rasa tidak senang di kalangan sesetengah pihak kerana jatuh pada hari bekerja dan pertengahan minggu yang disifatkan sebagai cara untuk mengurangkan peratusan keluar mengundi.

Sementara itu, mengulas tindakan DAP meletakkan tiga calon Melayu di Pahang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), Abdul Hadi berkata tindakan itu adalah strategi parti tersebut untuk dilihat sebagai bukan cauvinis.

Katanya tindakan DAP yang bersetuju bertanding dengan menggunakan logo PKR pada pilihan raya akan datang juga boleh disifatkan bertujuan untuk menarik undi pengundi Melayu.

Pada Ahad lalu, DAP menamakan tiga calon Melayu di Pahang iaitu Tengku Zulpuri Shah Raja Puri yang merupakan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mentakab bertanding di Parlimen Raub, Abu Bakar Lebai Sudin (DUN Pulau Manis) dan Young Syefura Othman atau Rara (DUN Ketari).

Sementara itu, mengulas mengenai calon PAS, Abdul Hadi berkata pengumuman rasmi akan diadakan secara serentak di seluruh negara pada 19 April ini, dengan parti itu mengetengahkan lebih ramai ‘calon muda yang bertenaga’.

“Kita ada calon bukan Islam. Ada jumlah dan tempat yang munasabah kita hendak mereka bertanding untuk menang. Kita juga akan menambah dan memperkenalkan kerajaan teknokrat yang menggabungkan kelompok pakar membangunkan negara,” katanya.

Ditanya jika beliau akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Marang dan DUN Rhu Rendang, Abdul Hadi berkata beliau meletakkan perkara itu kepada kehendak parti, namun menambah ‘Insya-Allah akan bertanding’.

Abdul Hadi juga mengakui bahawa PAS masih belum mempunyai senarai calon yang akan diketengahkan sebagai perdana menteri, jika menang pada PRU14, meskipun tempoh masa ini boleh disifatkan sebagai ‘tempoh pecutan akhir’ sebelum pengundian.

“Kita tidak mahu lantik secara angan-angan dan di awangan, PAS mahu berpijak di bumi nyata. Kepada kita ini adalah amanah dan tanggungjawab, lihat prestasi kerja dan sejauh mana menang pilihan raya.

“Hendak jadi perdana menteri mesti menang pada pilihan raya… ini calon pun tidak tahu lagi,” katanya. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com