Hadi Dedah Ada Pihak Cuba Pujuk PAS Tarik Balik Saman RM90 Juta


SHAH ALAM – Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan dakwaan bekas pemimpin parti itu, Datuk Mahfuz Omar bahawa PAS ada menerima wang daripada pemimpin UMNO tertentu, sebagai kebudak-budakan.

Beliau secara sinis berkata tiada mana-mana parti yang sanggup memberi wang kepada parti lain yang akan menentangnya pada pilihan raya.

“PRU (Pilihan Raya Umum ke-14) ini PAS akan bertanding di kawasan UMNO bukan kawasan DAP. UMNO bagi duit untuk kita lawan dia? Ini adalah hujah orang yang jual ubat, politik jual ubat.

“Jadi kita nafilah. Kita ada kes saman mengenai isu RM90 juta (terhadap laporan portal Sarawak Report). Insya Allah kita akan menang (kes saman) dan sudah ada orang tengah yang pujuk kita untuk tarik balik saman itu,” katanya dalam sidang media selepas Program Town Hall Mega 2018 di sini Sabtu malam.

Abdul Hadi berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Mahfuz dalam satu program ceramah di Padang Serai, Kedah, baru-baru ini, bahawa terdapat tiga pemimpin PAS Terengganu menerima sejumlah wang daripada pemimpin UMNO tertentu yang dimasukkan melalui akaun amanah PAS pada Mac lalu.

Mahfuz yang mengumumkan keluar dari PAS pada 31 Dis lepas dan menyertai Parti Amanah Negara, dilaporkan turut mendakwa sejumlah wang telah dimasukkan ke dalam akaun Jabatan Pembangunan PAS Pusat atau Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Abdul Hadi sebelum ini memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi London, terhadap satu artikel Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa PAS menerima RM90 juta daripada perdana menteri.

Ditanya sama ada beliau akan menyaman Mahfuz berhubung dakwaannya itu, Abdul Hadi menjawab: ‘Kita rasa bodoh kalau kita layan…kita terima duit UMNO untuk lawan UMNO, cerdik ke tu”.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan mencabar Mahfuz supaya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya merasakan dakwaannya itu benar.

“Kalau dia rasa apa dia katakan itu betul dan ada unsur-unsur rasuah, saya cabar dia buat report kepada SPRM. Bukan kita kena nafikan tetapi dia kena buktikan…ini dakwaan tidak benar,” katanya. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com