“Habis… Semua Motosikal Kuasa Tinggi Kena Sapu”


LEBIH 10 motosikal yang berhenti di bahu jalan jejambat kilometer 259 Lebuhraya Utara-Selatan telah dirempuh tanpa belas kasihan sekitar jam 2 petang semalam.

Kejadian tersebut dipercayai telah membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebuah Perodua Axia terbabas ke tepi jalan merempuh sebanyak 12 buah motosikal termasuk motosikal berkuasa tinggi yang berhenti berteduh di bawah jejambat ketika hujan lebat.

Insiden tersebut telah mengakibatkan seorang penumpang motosikal cedera ringan manakala yang lain selamat kerana berada jauh dari motosikal masing-masing di sebalik penghadang jalan.


Motosikal yang dilanggar telah terperosok di bawah kereta dan mengalami kerosakan teruk.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh, berkata siasatan mendapati perodua Axia yang dipandu wanita berusia 23 tahun dari arah Senawang ke Banting hilang kawalan selepas melanggar lopak air.


“Keretanya kemudian melanggar pembahagi jalan sebelum melintang di tengah jalan. Sebuah kenderaan lain di belakangnya tidak sempat mengelak lalu merempuh kereta itu.

“Kedua-dua kenderaan itu kemudian terbabas ke lorong kecemasan dan merempuh 12 motosikal yang berada di bawah jejambat,” katanya pada Berita Harian.

Penumpang motosikal wanita yang cedera di dalam kemalangan itu dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini, untuk rawatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com