Guru Bukan Sekadar Kerani PRU


KUALA LUMPUR - Guru sebagai masyarakat sivil memainkan peranan yang sangat penting di akar umbi dalam pembangunan modal insan dan membentuk pendapat masyarakat.

Menurut Pengarah UMCEDEL dan penganalisis politik, Prof Hamidin Abd Hamid, masyarakat sivil terutamanya guru boleh membantu mewujudkan kepercayaan kepada murid dan juga masyarakat bahawa tidak salah untuk membuat pilihan.

"Dalam konteks itu, kita bercakap mengenai kebertanggungjawaban kita sebagai seorang rakyat Malaysia ialah untuk menjalankan proses pengundian, untuk daftar sebagai pengundi.

"Pilihan setiap individu harus dihormati. Itu menunjukkan bahawa kita mencapai satu tahap demokrasi matang," kata beliau dalam sebuah temu bual ekslusif di Astro AWANI.

Hamidin juga berkata apabila berbincang mengenai demokrasi keterbukaan itu amat penting, dan ini terutamanya dalam kalangan masyarakat yang mendidik.

Katanya jika demokrasi dilihat dari sudut kepartian, ia bukan sahaja akan melumpuhkan tetapi menjadikan demokrasi itu sesuatu yang hambar.

"Asas kepada demokrasi adalah pilihan, bahawa seseorang itu diberi kuasa untuk membuat pilihan," ujar beliau sambil menyatakan bahawa pekara ini harus disampaikan oleh guru kepada murid.

Terdapat 421,828 guru berdaftar di Malaysia, dimana 239,850 orang bekerja di sekolah rendah dan 181,978 berkhidmat di sekolah menengah.

Menurut penyelaras sukarelawan pendidik, Majlis Belia Malaysia, Khairul Nizam Mohd Sopery, stigma masyarakat menyatakan guru sekadar kerani semasa pilihan raya.

Tetapi katanya, guru di Negeri Sembilan mengambil tanggungjawab untuk menyebarkan kepentingan pilihan raya, dan memastikan ibu-bapa dan guru-guru mendaftar sebagai pengundi.

Tambahnya mereka juga mengambil tahu mengenai angka rakyat Malaysia yang layak mengundi tetapi tidak mendaftar, iaitu 3.6 juta.

Katanya juga rakan-rakan gurunya, mengambil inisiatif menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan mesej tanggungjawab.

Sumber: Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com