Guan Eng Pun Ada ‘Remote Control’ Mahkamah?


PERSEPSI yang sering diulang dan dijaja serata negara ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak kerajaan Barisan Nasional memegang “remote control” yang membolehkannya mengawal tindak-tanduk mahkamah di seluruh negara.

Kempen pembangkang ini mendakwa mahkamah hanya membuat keputusan yang akan “favour” kepada kerajaan dan pemimpin-pemimpin parti kerajaan BN.

Kalau begitu maksudnya, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng juga boleh dikatakan mempunyai “remote control” sendiri apabila perbicaraan kes korupsi pembelian banglo jutaan ringgitnya ditangguh untuk membolehkan beliau bergiat dalam pilihan raya umum.

Mahakamah Tinggi di Pulau Pinang pagi ini membenarkan permohonan penangguhan perbicaraannya kepada bulan depan, atas alasan Guan Eng perlu terlibat dalam pilihan raya.

Perbicaraan kali ini sepatutnya bermula semalam hingga 21 April.

Peguam Guan Eng, Gobind Singh Deo membuat permohonan ini kepada Hakim Hadhariah Syed Ismail semalam, dengan alasan sukar untuk anak guamnya hadir ke mahkamah pada masa pilihan raya.

Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud membantah keputusan itu dengan alasan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih belum memutuskan tarikh penamaan calon dan perbicaraan masih boleh diteruskan sekarang.

Hakim Hadhariah berkata kes ini ialah kes jenayah dan oleh itu, tertuduh mesti menghadiri perbicaraan.

Hadhariah menetapkan tarikh 10 Mei sebagai pengurusan kes dan kes diteruskan pada 21 Mei.

Guan Eng pagi ini dilihat memasuki kediaman Gabenor Abdul Rahman Abbas, dipercayai untuk memohon perkenan membubarkan dewan negeri bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan.

Ketua menteri Pulau Pinang itu didakwa menggunakan kuasanya untuk mendapatkan habuan membeli sebuah banglo daripada ahli perniagaan Phang Li Koon pada harga RM2.8 juta sedangkan harga sebenarnya di pasaran ialah RM4.27 juta.

Beliau telah meluluskan permohonan syarikat Magnificent Emblem Sdn. Bhd. menukar status tanah pertanian kepada tanah kediaman pada 30 Jun, 2016.

Ini bukan pertama kali kes beliau ini ditangguhkan. Sebelum ini, kes ditangguhkan untuk membenarkan Guan Eng dan Gobind hadir sesi Parlimen.

Guan Eng bernasib baik kerana ahli dan penyokong BN tidak menuduhnya mempengaruhi mahkamah seperti yang selalu parti beliau dan pembangkang tuduh pada kerajaan BN.

Kalau musuh politik DAP mahu memperbesarkan isu ini dan mencipta berita palsu, maka sudah berlambaklah berita-berita palsu mendakwa Guan Eng mempunyai “remote control” dalam mahkamah di Pulau Pinang. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com