GST: Pendirian Sebenar Mahathir, Muhyiddin Terbongkar?


ALOR SETAR - Sikap dan pendirian Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di negara ini disindir pedas gara-gara tidak konsisten.

Beliau merupakan antara pemimpin yang paling lantang menyokong pelaksanaan sistem percukaian itu dan menegaskan ia merupakan kaedah terbaik menangani masalah defisit negara, selain golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak akan menghadapi kesan akibat pelaksanaannya.


Namun begitu, sikap dan pendirian Muhyiddin tiba-tiba berubah setelah digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan hari ini mengetuai satu perhimpunan pembangkang menentang dasar percukaian itu.

Lebih mengejutkan lagi, Pengerusi PPBM sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad didedahkan memberi amaran supaya tidak menggunakan modal GST untuk menyerang Barisan Nasional (BN) kerana beliau melihat sistem tersebut merupakan yang terbaik kepada negara.

"Jadi, apabila dah duduk di luar (PPBM) ketika ini, mereka membuat pusingan U pula berkenaan dengan isu ini walhal Muhyiddin pernah mengingatkan kami supaya jangan membangkitkan tentang GST.

"Inilah dakyah pilihan raya sebenar Muhyiddin. Kita tak boleh ada pemimpin seperti ini sedangkan beliau sendiri yang pernah mengingatkan ahli PPBM supaya tidak menyebut pasal GST," dedah bekas Setiausaha Kerja PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman, memetik laporan media arus perdana.

Sebelum itu, Muhyiddin dilaporkan mengetuai Kempen Rakyat Tolak GST di ibu negara bermula pukul 4 petang semalam, bersempena tiga tahun pelaksanaan cukai tersebut.

Kamarul Azman turut yakin bahawa Pakatan Harapan akan meneruskan pelaksanaan GST sekiranya berjaya berkuasa di negara ini, namun menukar nama sistem percukaian itu kepada nama lain.

"Saya pasti apa yang berlaku sekiranya mereka dapat menguasai negara adalah hanya pada nama cukai itu sahaja kerana mereka sendiri mengakui sistem itu sudah betul.

"Mungkin mereka akan mengubah GST kepada cukai perkhidmatan kebangsaan (NST) atau apa sahaja nama lain, sedangkan sistem itu sebenarnya sama sahaja," katanya lagi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com