Golongan Penoreh Getah Di Pendang Bersyukur Kenaikan BR1M


ALOR SETAR – Golongan penoreh getah di Pendang khususnya melahirkan rasa syukur dengan kenaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak malam semalam.

Rata-rata mereka menzahirkan rasa lega kerana pada ketika ini kehidupan mereka sedang berdepan dengan ketidaktentuan harga komoditi itu.

Seorang penoreh, Siti Aminah Hassan, 35, dari Kampung Nandam, di Pendang berkata meskipun pemberian tiga kali dalam setahun, tetapi ia sangat bermaknabaginya kerana bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kewangannya dalam membesarkan lima anak.

“Saya tidak menyangka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuat pengumuman tersebut kerana ia pada akhir ucapan beliau. Saya sangat tersentuh kerana sejak suami, Sulaiman Ali, 48, diserang penyakit jantung setahun lepas, menyebabkan kami tiada pendapatan sampingan,” katanya memetik Bernama.

Tambahnya, dengan keadaan suaminya sebegitu dia tidak lagi boleh membuat kerja berat mengambil upah di sawah penduduk sekitar dan mereka hanya bergantung dengan pendapatan menorah, kira-kira RM100 seminggu.

“Saya dan suami akan beri sokongan padu kepada BN, bukan sebab BR1M semata-mata tetapi atas jasa dan pengorbanan BN yang cukup bijak dan tahu cara membantu rakyat yang dihimpit kenaikan kos hidup dengan pelbagai bantuan yang diberikan, ” katanya.

Bagi seorang lagi penoreh, Salma Hussin, 47, berkata dia juga langsung tidak menyangka pengumuman Manifesto BN malam semalam turut menyentuh perihal kenaikan bantuan BR1M.

“Saya mula berkira-kira jumlah yang diperoleh sebab sebelum ini dah dapat RM400, peningkatan dari RM1,200 kepada RM2,000 itu sesuatu yang patut disyukuri dan umpama ‘durian runtuh’ buat kami. Kami tetap akan menyokong BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 ini bagi memastikan bantuan itu terus dinikmati,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com