Gerakan Tolak Dr Mahathir


KUALA LUMPUR - Bekas pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan mengadakan penjelasan ke seluruh negara supaya rakyat menolak Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa dalang menyebabkan kucar-kacir dalam politik negara.

Siri jelajah diberi nama 'Gerakan Tolak Dr Mahathir' yang akan mengumpulkan lebih 1,000 bekas pemimpin dan ahli PPBM, akan bermula minggu depan.

Bekas pengasas PPBM, Kamarulzaman Habibur Rahman, yang mengetuai gerakan itu, berkata pihaknya akan berkempen dan memberi penerangan kepada rakyat jelata sepanjang bulan ini.

"Matlamat jelajah adalah satu iaitu mahu menolak insan bernama Dr Mahathir kerana bekas perdana menteri itu menjadi dalang yang menyebabkan kucar-kacir dalam kancah politik negara.

"Kami bimbang bahaya Dr Mahathir kerana sudah beberapa kali membuat pusingan U, antaranya isu dengan DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Rakyat kena faham, kita sebenarnya kini berada di ambang kemusnahan jika masih simpati kepada dia (Dr Mahathir) yang sudah memimpin negara ini selama 22 tahun.

"Dengan jelajah ini kita harap ia dapat menyedarkan orang ramai siapa Dr Mahathir sebenarnya supaya pakat-pakat tolak campur tangan pemimpin yang cuba sekali lagi menjadi perdana menteri," katanya pada sidang media di sini semalam.

Yang turut hadir, tiga bekas EXCO Pemuda PPBM iaitu Syazwan Zainal, Wahazir Wahabi dan Taufik Abbas.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) membubarkan sementara PPBM selama 30 hari berkuat kuasa 5 April lalu kerana gagal menyerahkan sepenuhnya segala butir maklumat dan dokumen yang diminta dalam notis yang dikeluarkan menurut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966.

Kamarulzaman turut menjemput mana-mana parti politik atau individu tertentu untuk berkongsi pentas bersama pihaknya untuk bersama-sama berkempen menolak Dr Mahathir.

Setakat ini, katanya, pihaknya sudah menerima jemputan daripada beberapa negeri, namun enggan mendedahkan kerana mahu membuat kejutan.

"NGO (pertubuhan bukan kerajaan) pun ada yang sudah menjemput kami. Apa pun, gerakan ini sudah pun bermula tetapi secara kecil dengan penerangan melalui platform media sosial. Mula minggu depan, barulah kita akan pergi ke skala besar," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com