Geng Wechat Curi Motor Tumpas


KEPALA BATAS - Polis Seberang Perai Utara (SPU) berjaya menyelesaikan lapan kes curi motosikal dalam daerah itu sejak Januari lalu dengan tertangkapnya dua suspek minggu lalu.

Dua remaja yang digelar Geng Wechat itu ditahan hasil maklumat orang awam pada pukul 1.30 petang 3 April lalu di sebuah rumah di Simpang Empat Permatang Buloh dan polis berjaya menemukan tujuh rangka dan sebuah motosikal jenis Honda EX5.

Siasatan awal mendapati mereka mengaku melakukan kegiatan terbabit di sekitar Kepala Batas, Sungai Dua dan Tasek Gelugor sebelum menjual komponen motosikal itu kepada pelanggan yang dihubungi menerusi aplikasi laman sosial Wechat.

Ketua Polis Daerah SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kedua-dua suspek akan melakukan aktiviti itu pada awal pagi menggunakan besi yang diubah suai sebagai ‘mastey key’.

“Kedua-dua suspek yang memiliki beberapa rekod berkaitan dadah memaklumkan kepada polis yang hasil jualan komponen motosikal itu digunakan untuk membeli dadah.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 4 April lalu bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita semalam.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com