Gembira Lihat Industri Pelancongan Langkawi Jana RM4.7 Bilion


ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan Pulau Langkawi yang berjaya menjana pendapatan RM4.7 bilion, semalam.

"Industri pelancongan di Langkawi berjaya menjana pendapatan berjumlah RM4.7 bilion dalam tempoh Januari hingga  September tahun lalu," katanya. 

Menurutnya, kejayaan itu merupakan hasil promosi berterusan Langkawi di peringkat antarabangsa sehingga menggamit ketibaan 3.67 juta pelancong ke pulau ini seperti dicatatkan dalam tempoh berkenaan.

“Peningkatan jumlah pelancong yang berterusan ke Langkawi ini adalah kerana keistimewaannya yang tersendiri seperti Geopark dan sebagainya.

"Produk-produk ini kita mesti terus pertahankan di samping mengadakan produk-produk yang baharu,” katanya di Majlis Malam Penghargaan Pengusaha Industri Pelancongan Pulau Langkawi di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di Langkawi.


Beliau mengakui usaha membangunkan Langkawi sehingga menjadi destinasi pelancongan yang terkenal bukanlah mudah namun berkat komitmen sebuah kerajaan yang kuat, telus dan disokong oleh semua peserta industri dan rakyat tempatan menjadi kunci utama.

“Bagi memastikan keadaan ini berterusan, kita hendaklah terus memberikan sokongan padu kepada kerajaan yang ada sekarang,” katanya.

Ahmad Bashah berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah memberikan perhatian khusus  kepada pembangunan di Langkawi selama ini dan ingin melihat tahap pelancongan di pulau ini meningkat ke peringkat yang lebih tinggi.

“Langkawi sentiasa dekat di hati Datuk Seri Najib. Selama ini Langkawi dikenali sebagai Permata Kedah tetapi Perdana Menteri ingin menjadikannya sebagai Permata Malaysia,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan sijil-sijil penghargaan kepada peserta-peserta industri  pelancongan Langkawi yang memenangi beberapa anugerah di Malam Anugerah Pelancongan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di Putrajaya baru-baru ini.

Turut hadir,  Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri, Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid, dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Datuk Azizan Noordin. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com