Gelaran PhD Palsu, Universiti Malaya Nafi Status Boy Iman


APA sahaja sanggup dilakukan oleh pelakon Datuk Boy Iman yang terkenal dengan kontroversi hangat selepas namanya terpalit dengan isu penipuan rumah mampu milik pada tahun lalu.

Baru-baru ini, Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman Abdul Rahman telah memuat naik satu gambar di media sosial Instagram miliknya tentang status pendidikanya di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaya.

Bagaimanapun, pihak Universiti Malaya sendiri telah menafikan statusnya itu dalam satu kenyataan dan mendakwa tiada individu yang bernama Noruliman Abdul Rahman didaftarkan bagi calon ijazah tersebut.




“Universiti Malaya ingin menarik perhatian berhubung status pendaftaran calon Doktor Falsafah Noruliman A Rahman dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (secara penyelidikan).

“Pihak UM telah membuat semakan dan mengesahkan bahawa tiada pendaftaran atas nama individu ini sebagai calon Doktor Falsafah di UM,” tulis kenyataan itu.

Namun, Boy Iman telah memadam status berkenaan selepas dia menerima banyak kritikan daripada netizen yang tidak mempercayai ‘bukti’ yang ditunjukkannya itu.

Malah, dia turut memuat naik gambar kad pelajar yang di atasnya tercatat nama penuhnya bersama dengan logo Universiti Malaya berserta kulit buku penyelidikan universiti terbabit.

“Buat mereka yang bergelar pakcik bawang & makcik bawang… Hadiah untuk anda! Juga hadiah untuk saya sebab birthday saya dah dekat 2 April ini,” tulisnya.

Sebelum ini, kecoh sebentar apabila dia juga dikatakan telah mendapat gelaran ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang sosial dan kemanusiaan dari Universiti Antarabangsa.

Seperti biasa, dia telah dikecam teruk oleh netizen yang sudah lali dengan kegigihannya dalam membuktikan ‘kehebatan’ dirinya itu.

Dia juga sempat menyindir netizen yang sering menjatuhkan usahanya selama ini.

Sehingga kini, tiada kenyataan yang dikeluarkan daripada pihak Boy Iman sendiri selepas pihak Universiti Malaya mengumumkan perkara tersebut. –Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com