GegaRia Di Sungai Petani, Ahad Ini


KUALA LUMPUR - Festival GegaRia 2018 #KitaOK bakal melabuhkan tirainya di Amanjaya Mall di Sungai Petani, Kedah, Ahad ini selepas menggegarkan enam bandar di seluruh Semenanjung dengan rekod pengunjung mencecah ratusan ribu orang.

Menerusi siri zon seperti sebelumnya, Festival GegaRia 2018 #KitaOK menampilkan pelbagai kelainan dalam setiap zon utama iaitu Zon Makan-Makan, Zon Throwback Tunnel, Zon Gaya Hidup, Zon Komuniti dan Zon Hiburan #Gegaria bermula dari jam 8 pagi hingga 11 malam.

Pengurus Projek Khas dan Perkhidmatan Pelanggan, Pengiklanan,The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Mohd Anis Abdullah, berkata Zon Throwback Tunnel dan Zon Gaya Hidup antara lokasi terbaik pengunjung untuk menimba pengalaman berharga.

"Di zon ini, beberapa gambar dan rakaman video dari arkib Pusat Sumber NSTP dan TV3 dipertontonkan kepada pengunjung yang bukan saja mengimbau sejarah tanah air malah sebagai inspirasi kepada generasi Y.

"Zon Gaya Hidup pula membabitkan sesi perkongsian pengurusan kewangan di tapak #YOUCANDUIT oleh barisan artis yang juga usahawan antaranya Dinie dan Khai, Fesyen & Kecantikan oleh Elfira Loy, Kesihatan daripada Hanif Shawn dan Dr. Say, 'Kata Serasi' oleh Diana Danielle dan Naz Rahman, Dari Minat Kepada Karier oleh Faizdickie dan Vikar serta Musik & Fesyen yang dihoskan oleh Pa'din Musa dan Noh Salleh.

"Beberapa topik panas berkaitan keibubapaan pastinya menarik untuk diikuti seperti "Feel It: Marriage Drama?" oleh Chazynash dan tip Keibubapaan oleh Scha Alyahya dan Awal Ashaari serta peraduan mewarna untuk kanak-kanak yang akan diadakan jam 5 petang dengan penampilan istimewa Ejen Ali," katanya.

Zon Makan-Makan pula bakal disertai pelbagai trak makanan yang menawarkan makanan tradisional, makanan segera dan demo masakan.

Festival Gegaria 2018 #KitaOK turut mewujudkan Zon Komuniti sebagai inisiatif untuk berkhidmat kepada masyarakat menerusi semakan daftar pemilih dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kaunter Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pemeriksaan gigi, ujian kecergasan serta ujian saringan kesihatan daripada Pejabat Kesihatan Negeri.

Ribuan pengunjung pastinya menantikan tarikan utama di Zon Hiburan yang bermula sejak awal pagi dengan aktiviti tarian Zumba dan diteruskan dengan aktiviti fizikal dan permainan tradisional seperti Timbang Takraw, Ting-ting, Congkak dan Buih Gergasi.

Program Jalan Jalan Cari Makan (JJCM) turut menawarkan peraduan makan dan pemberian hadiah serta demo memasak bersama Chef Iwan di kawasan Chillex.

Permainan elektronik pula menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM10,000 dengan menyertai kejohanan pertandingan elektronik untuk permainan Fifa Online 3. Turut tersedia, Playstation 4, Nintendo, XBOX dan permainan Virtual Reality yang memberi pengalaman bermain di alam maya secara peribadi.

Konsert Petang dan Malam Gegaria di Pentas Utama Gegaria menampilkan selebriti terkemuka tanahair termasuk Stacy, Akim & The Majistret, Faizal Tahir, Kugiran Masdo, Bunkface, HUJAN, Bell Yu Tian, Orkes A. Hizadin dan Plague of Happiness.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari Facebook rasmi Gegaria di 'GoGegaria' (www.facebook.com/gogegaria) atau laman sosial di Instagram @gogegaria (www.instagram.com/gogegaria).

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com