Felda Kisah Kejayaan Negara – PM


BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Felda merupakan kejayaan Malaysia yang tidak dapat ditiru oleh mana-mana negara lain di dunia ini.

Najib berkata walaupun banyak negara cuba mengikut jejak modul yang dilakukan oleh kerajaan dalam melaksanakan perkara itu, namun mereka tidak mampu melakukan apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional sejak mula Felda ditubuhkan pada 1956 hingga kini.

“Saya tahu banyak negara lain dari benua Afrika serta tempat lain hantar rombongan ke negara ini…semua pemimpin mereka balik kata nak ikut contoh Felda malah ada negara yang kita hantar pasukan untuk bantu negara berkenaan melaksanakannya.

“Tetapi tidak ada satupun yang mampu untuk melaksanakan apa yang telah kita lakukan dalam soal pembangunan Felda yang tak perlulah saya terangkannya…mungkin banyak faktor tetapi yang penting sekali komitmen yang telah pucuk pimpinan kita sumbangkan sejak dahulu sehingga kini, bermula dengan Allahyarham Tun Abdul Razak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Model Baharu Lot Perumahan Generasi Baharu di Padang Awam Felda Kumai, sempena lawatan kerja ke daerah itu di sini semalam.

Majlis turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Perdana Menteri berkata sejak tanah rancangan pertama diwujudkan di Felda Lurah Bilut, Felda telah melalui banyak perubahan serta transformasi hasil komitmen berterusan yang dilakukan oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk tingkatkan taraf hidup masyarakat peneroka termasuk generasi baharu.

Antaranya termasuk peruntukan sebanyak RM2 bilion untuk tujuan pembesaran rumah peneroka Felda dengan pinjaman sebanyak RM40,000 terhadap setiap isi rumah tanpa faedah dan pemberian enam insentif antaranya dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

“Sejak enam bulan pemberian enam insentif itu seramai 14,876 peneroka telah setuju muafakat kepada Felda, ini bererti bahawa hari ini 93.5 peratus daripada keseluruhan peneroka Felda telah kembali kepada Felda.

“Peningkatan ini tidak tidak pernah kita lihat sebelum ini tetapi telah jadi kejayaan, mana-mana peneroka yang muafakat juga layak mendapat pembayaran insentif itu,” katanya.

Sementara itu model baharu lot perumahan generasi baharu Felda yang dilancarkan hari ini adalah bagi memastikan kemampuan pemilikan rumah oleh generasi kedua Felda.

Melalui program berkenaan, Felda menyediakan lot-lot tanah dengan kerjasama kerajaan negeri yang akan dibangunkan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

Untuk fasa pertama sebanyak 5,000 rumah model baharu itu akan dibina di seluruh negara. Ia termasuk 3,000 unit rumah di Pahang merangkumi 900 lot di 14 tanah rancangan di Bera dengan peruntukan keseluruhan daripada kerajaan sebanyak RM164 juta.

“Program model baharu lot perumahan generasi baharu Felda ini satu program baharu yang dicadangkan oleh Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad yang mana melalui konsep ini, harga rumah yang bernilai kira-kira RM90,000 dijual pada harga RM35,000 kepada generasi kedua,” kata Perdana Menteri.

Setiap rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air dengan keutamaan pemilikan diberikan kepada generasi baharu Felda yang mempunyai pendapatan kasar antara RM1,000 sehingga RM3,000 sebulan.

Dalam majlis berkenaan, Najib turut mengumumkan pemberian peruntukan sebanyak RM14 juta kepada 14 tanah rancangan di Felda untuk tujuan pembinaan infrastruktur dan kerja-kerja membaik pulih 14 masjid di kawasan itu.  - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com