FB Jadi Alat Propaganda AntiRohingya di Myanmar


SINGAPURA - Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg mengakui laman sosial itu digunakan sebagai alat menyebarkan propaganda antiRohingya di Myanmar, lapor laman berita Channel News Asia (CNA) pada Selasa.

Bercakap kepada laman web berita Vox dalam temu ramah disiarkan pada Isnin, Zuckerberg berkata, pihak tertentu cuba menggunakan Facebook untuk 'menghasut bahaya sebenar' di rantau itu.

Katanya, peranan Facebook sebagai sumber propaganda di rantau itu adalah sesuatu yang diberi banyak perhatian syarikatnya.

"Isu Myanmar mendapat banyak perhatian dalam syarikat. Saya teringat pada pagi Sabtu, saya mendapat panggilan telefon dan kami mengesan individu cuba menyebarkan mesej menghasut menerusi Facebook Messenger kepada setiap pihak dalam konflik.

"Mereka menyebarkan maklumat memaklumkan penduduk Islam, ada kebangkitan penduduk Buddha, justeru pastikan anda bersenjata dan pergi ke tempat tertentu. Begitu juga mesej sama disampaikan kepada pihak satu lagi.

"Ini jelas menunjukkan penduduk Myanmar menggunakan aplikasi kami untuk mencetuskan sesuatu yang berbahaya," kata Zuckerberg.

Dalam situasi seperti itu, sistem Facebook akan mengesan apa yang sedang berlaku dan menghentikan mesej daripada disampaikan, katanya.

Serangan pemberontak di Rakhine Myanmar menyebabkan tentera melaksanakan tindakan keras yang menjadi punca ratusan ribu etnik Rohingya lari ke Bangladesh dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan operasi itu sebagai 'pembersihan etnik secara jelas'.

"Antara cerita ngeri yang saya baca mengenai Facebook sejak setahun lalu ialah, ia menjadi sumber sebenar propaganda antiRohingya di Myanmar, justeru menjadi sebahagian aktiviti pembersihan etnik," kata pengacara Vox, Ezra Klein. -Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com