Fadi Kerap Bercakap Isu Palestin Di Luar Negara


KUALA LUMPUR - Polis masih meneliti pembabitan Dr Fadi M R Albatsh Fatma, yang kerap dijemput untuk bercakap mengenai Palestin dalam beberapa acara di luar negara, mempunyai kaitan dengan kes pembunuhannya di Setapak, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun faktor itu tidak dapat dihuraikan sehingga pihak polis mempunyai bukti kukuh mengenai motif dan punca sebenar kejadian tembak di hadapan Kondominium Idaman Puteri, itu berlaku.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berkata mangsa turut aktif dalam beberapa pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) bukan sahaja di universiti dalam negara ini malah beberapa universiti di luar negara.

"Berdasarkan maklumat awal yang kita ada, mangsa kerap bercakap mengenai isu Palestin di Eropah dan Timur Tengah, namun kami tidak mempunyai butiran terperinci mengenai perkara itu.

"Mangsa juga adalah seorang jurutera elektrik dan pernah menuntut di Universiti Malaya (UM) selain menjadi tenaga pengajar Kejuruteraan Elektrik di Universiti Kuala Lumpur," katanya dalam sidang media di sini, petang semalam.

Fuzi berkata pihaknya juga masih menyiasat sama ada mangsa adalah pejuang Hamas di Palestin seperti yang tersebar dalam media sosial kononnya adalah seorang ahli Hamas yang aktif.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Fuzi turut memberi jaminan keselamatan kepada keluarga mangsa, pihak Kedutaan Palestin serta warga Palestin lain yang berada di negara ini.

"Kita sudah merakam percakapan daripada keluarga mangsa dan memberikan tahap kawalan secukupnya jika keadaan memerlukan dan perhatian serius diberikan kepada mereka," katanya.

Selain itu, beliau berkata tahap kawalan keselamatan di tempat umum akan terus dipertingkatkan meskipun semasa tempoh pilihan raya akan berlangsung dalam masa terdekat.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com