Enggan Tarik Balik Kenyataan 'Kalau Saya Tuhan'


KUALA LUMPUR  - Biarpun terpalit dengan kontroversi berhubung kenyataan 'kalau saya tuhan', Mohamed Hanipa Maidin (PAN-Sepang) masih berdegil tidak mahu menarik balik perkataan tersebut.

Beliau tetap enggan berbuat demikian walaupun didesak oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam sidang Dewan Rakyat semalam.

Malah, Mohamed Hanipa turut menuduh Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dibayar oleh Shahidan setelah Mufti Perlis itu menegurnya mengenai kenyataan tersebut.

“Saya takkan tarik balik, kenapa sekarang baru minta saya tarik balik, nampak sangat Arau ada dendam dengan saya.

“Kamu dah upah Mufti Perlis tak payah cakaplah, baca hansard saya secara keseluruhannya, jangan ambil yang potong-potong ayatnya,” katanya.

Khamis lalu, kekecohan tercetus apabila Mohamed Hanipa menyebut ‘kalau saya tuhan’ ketika bertikam lidah dengan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN- Baling ) yang mencelah ketika beliau membahaskan Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 dalam sidang Dewan Rakyat.

Kenyataan Mohamed Hanipa itu mencetuskan polemik serta kecaman pelbagai pihak termasuk para agamawan yang memintanya supaya bertaubat.

Tindakan Mohamed Hanipa itu turut ditegur oleh Mohd. Asri yang menyifatkan kenyataan Hanipa itu seolah-olah menunjukkan tuhan bersalah dalam membuat keputusan.

Sementara itu, Shahidan berkata, Hanipa seolah-olah berbangga dengan kenyataan tersebut yang jelas bertentangan dengan Peraturan Mesyuarat 36 (12).

“Jangan bangga dengan kehebatan kamu, semoga Allah SWT merahmati kamu,” katanya.

Selain itu, Mohamed Hanipa juga enggan menarik balik kenyataan ‘pengundi Barisan Nasional (BN) bodoh’ yang diucapkannya ketika membahaskan Rang Undang-undang Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (Pindaan) 2018 dalam sidang Dewan Rakyat semalam.

Sumber: Utusan Online


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com