Duterte Simpati Sedia Terima Pelarian Rohingya


MANILA – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte hari ini berkata, `penghapusan etnik’ berlaku di Myanmar dan dia bersedia untuk menerima pelarian Rohingya serta menegaskan Eropah juga perlu menghulurkan bantuan.

Kira-kira 700,000 penduduk Rohingya yang beragama Islam melarikan diri daripada Myanmar selepas operasi tentera di negeri Rakhine, tahun lalu.

Duterte dalam satu ucapan di istana presiden menyuarakan simpati terhadap nasib pelarian Rohingya dan menyatakan negara itu sedia menghulurkan bantuan.

“Saya sangat simpati dengan nasib penduduk di situ. Saya bersedia menerima pelarian Rohingya. Saya akan bantu dan berharap Eropah juga melakukan perkara sama,” katanya.

Duterte juga mengkritik masyarakat antarabangsa kerana tidak mampu menyelesaikan masalah di Myanmar.

“Isu Rohingya juga tidak dapat mereka selesaikan. Boleh saya katakan penghapusan etnik berlaku di sana,” jelasnya.

Sementara itu, Myanmar menolak dakwaan berlakunya penghapusan etnik di negara itu dan jurucakap kerajaan, Zaw Htay berkata, komen Duterte tidak mencerminkan keadaan sebenar.

“Dia tidak tahu apa-apa mengenai Myanmar. Ini adalah sikap biasa individu yang suka bercakap mengenai apa sahaja,” tegasnya. – Agensi/myMetro Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com