Dua Beranak Maut Berlanggar Lori Di Kulim


ALOR SETAR - Satu kemalangan yang meragut nyawa melibatkan sebuah motosikal dan lori berlaku di Jalan Padang Serai-Sungai Karangan, Kulim, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar yang mengesahkan kejadian itu berkata insiden terjadi pada jam 9.25 malam melibatkan dua beranak ibu, Vannie Ramoo, 57 dan anaknya Dinesh Alumalai, 19.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Padang Serai menuju ke Sungai Karangan telah memotong kenderaan dihadapan sebelum berlaku kemalangan.

"Hasil siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang dua beranak itu dalam perjalanan ke Sungai Karangan, setibanya di tempat kejadian Dinesh yang menunggang motosikal telah memotong kenderaan di hadapan dengan memasuki laluan bertentangan.

"Bagaimanapun akibat jarak yang terlalu dekat berlaku pelanggaran dengan sebuah lori yang datang dari Sungai Karangan untuk ke Padang Serai secara berdepan,"katanya.

Difahamkan, kedua beranak disahkan meninggal di tempat kejadian dan mayat telah dihantar ke Hospital Kulim untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada waris untuk tindakan lanjut.

"Dalam kejadian terbabit pemandu lori berusia 44 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes di siasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,"katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com