Dua Beradik Kini ‘Berkaki Lurus’


YAOUNDE – Impian dua beradik perempuan di Cameroon untuk bersekolah bakal menjadi kenyataan selepas penyakit misteri pada kaki yang dialami sejak kecil beransur pulih selepas kanak-kanak itu menjalani rawatan di sebuah hospital kapal dekat sini baru-baru ini.

Mail Online melaporkan, ba­gaimanapun perubahan menak­jub­kan dua beradik itu, Salamatou, 8, dan Mariama, 6, dari Gunung Manengouba, Cameroon tidak datang dengan mudah apabila mereka perlu menempuh perjalanan sejauh 160 kilometer menaiki kuda untuk menjalani rawatan di premis terbabit.

Kedua-dua beradik itu mengalami penyakit valgus atau lebih dikenali sebagai lutut bengkok, keadaan yang boleh berlaku akibat kekurangan zat makanan yang menyukarkan mereka untuk hadir ke sekolah.

Namun berita tentang kewujudan hospital kapal itu yang dikendalikan oleh sebuah pertubuhan kebajikan, Africa Mercy membuatkan dua beradik terbabit dan keluarga mereka bersemangat dan tekad menempuh laluan berliku di kawasan pergunungan menuju ke pelabuhan.

Amat menakjubkan, sehari selepas pembedahan itu, ke­dua-dua beradik berkenaan terlalu kagum dengan kemampuan mereka termasuk Mariama yang masih tidak percaya ‘kaki baharu’ tersebut adalah miliknya.

Bapa kedua-dua beradik itu, Debo ketika diminta mengulas mengenai masa depan anaknya berkata, mereka boleh ke sekolah dan belajar selepas ini.

“Sebelum ini saya amat risau dengan keluarga saya, namun kini saya mula lega,” katanya.

Sementara itu, semasa berada di hospital kapal berkenaan, ibu bapa Salamatou dan Mariama belajar akan kepentingan pengambilan nutrisi daripada pakar pemakanan hospital seperti telur ikan dan sayur-sayuran.

“Kami pasti akan berkongsikan perkara ini kepada keluarga lain di kampung kami supaya ia memberi manfaat kepada mereka,” kata ibu kepada kedua-dua beradik itu, Mymoona.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com