Doktor Beri Sherry Alhadad Masa Tiga Tahun Lagi Sebelum...


MENGALAMI masalah berat badan yang berlebihan, pengacara dan pelakon Sherry Al-Hadad dinasihatkan oleh doktor untuk ‘buang lemak’ atau akur dengan risiko penyakit berbahaya dalam masa beberapa tahun.

Oleh itu, Sherry nekad untuk menurunkan berat badannya dan komited untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat sejak tiga bulan lalu.

Hasilnya, dia kini telah susut 11 kilogram!

“Sebelum ini saya ada buat pemeriksaan kesihatan dan doktor selalu cakap saya ada tiga tahun sahaja untuk jaga kesihatan.

“Bukan untuk mati… tapi untuk mengelak daripada sebarang penyakit. Alhamdulillah, saya dah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 11 kilogram dalam masa tiga bulan.

Saya bersenam dan jaga permakanan ini pun bukan nak kurus semata-mata tapi untuk sentiasa sihat dan cergas,” kata Sherry kepada mStar Online.

Sebelum ini, berat badan pemilik nama sebenar Shariffah Mariam Syed Abdullah Al Hadad, 34, ini adalah 119 kilogram dan kini dia hanya 108 kilogram.

Bertambah semangat atas penurunan berat badannya itu, Sherry menyasarkan untuk menurunkan beratnya kepada bawah 100 kilogram dalam tempoh dua bulan lagi.

Kata Sherry, aspek yang paling sukar untuk dia lalui sepanjang tempoh penurunan berat badan adalah terpaksa menahan nafsu terhadap makanan kegemarannya.

“Selama tiga bulan ini saya memang menjaga permakanan. Setiap hari saya hanya makan set makanan sihat.

“Tapi saya tetapkan hari Ahad sebagai ‘cheat day’. Jadi, hari itu saya boleh makan apa sahaja yang teringin tetapi bukanlah secara melampau.

Tambahan pula, saya ada pergi ke pusat kecergasan untuk bersenam dalam tiga kali seminggu. Saya akan pilih hari yang tak sibuk,” ujarnya.  - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com