Diva AA Beri Rendang Percuma Jika Menang


BAHANG Pilihan Raya Umum (PRU) kian dirasai dan semalam adalah penamaan calon yang merupakan langkah pertama ke arah perubahan diidam-idamkan oleh majoriti rakyat Malaysia.

Namun begitu, senario PRU-14 kali ini dilihat agak ‘panas’ apabila pengacara terkenal, Azwan Ali mengesahkan bertanding sebagai calon bebas demi menentang abang kandung sendiri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Difahamkan, selebriti popular tanah air tersebut dikatakan menggunakan logo gajah dan bertanding di kerusi DUN Bukit Antarabangsa bagi mencabar menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR itu.

Terbaru, apa yang menarik perhatian kali ini adalah pengacara itu menyatakan hasrat untuk menghadiahkan rendang secara percuma kepada penduduk kawasan Bukit Antarabangsa jika memenangi PRU-14 bulan depan.


Memetik laporan mStar online, Azwan Ali yang lebih mesra disapa Diva AA memberitahu sebanyak 50,000 bekas rendang tersebut disediakan khas buat penyokong setianya.

“Jika menang, saya akan buat kenduri doa selamat terbesar dengan rakyat kawasan saya. Jangan risau, semua akan dapat rasa rendang saya secara percuma kerana saya tidak akan menjadi wakil rakyat yang hanya menjenguk kawasan ketika PRU.

“Diva AA akan bangun seawal pukul 3 pagi untuk memasak sendiri rendang penuh kasih sayang. Itulah menariknya jika Azwan Ali bertanding dalam pilihan raya.Tak pernah lagi dalam kempen ada beri rendang percuma.

“Rasa-rasa nak makan rendang Diva AA secara percuma, bolehlah mengundi Azwan Ali,” kata Azwan dipetik mStar Online, hari ini.

Dalam pada itu ditanya mengenai strategi kampen yang digunakan, Azwan menjelaskan dia mempunyai pendekatan dan kaedah yang tersediri.

“Saya akan berkempen menggunakan cara saya sendiri iaitu melalui psikologi kemesraan. Diva AA tidak akan menggunakan cara lama, sama ada poster atau banner seperti yang dilakukan calon-calon menteri lain yang propa,” jelas Azwan.

Pada masa sama, pengacara tersebut juga mengakui mengakui tidak kisah sekiranya hanya mendapat satu undi sahaja.

“Tidak kisah ada penyokong atau tidak, yang paling penting, saya kuat semangat dan akan terus berkempen cara sendiri,” tambah pengacara itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com