Derita 9 Tahun, Ingatkan Tahi Telinga Tapi Rupa-Rupanya...


London: Selepas sembilan tahun menderita, seorang kanak-kanak berusia 11 tahun akhirnya lega apabila doktor mengeluarkan manik yang terperangkap dalam telinganya yang selama ini disangka tahi telinga.

Budak yang tidak didedahkan identitinya itu menunjukkan tanda-tanda mengalami tinitus sejak berusia dua tahun, tetapi setiap kali dibawa untuk pemeriksaan doktor mendakwa masalahnya cuma disebabkan lebihan tahi telinga.

Punca sebenar masalah kanak-kanak itu cuma dikesan ketika dia bercuti di Bali apabila ibunya mendapatkan rawatan untuknya selepas menunjukkan tanda tonsilitis. Pakar yang membuat pemeriksaan penuh telinga, hidung dan tekak menemui manik berkenaan di liang telinga dalamnya.

Susulan itu, kanak-kanak berkenaan menjalani prosedur ringkas untuk mengeluarkan manik berkenaan, sekembalinya ke Britain.

Doktor dalam laporannya disiarkan BMJ Case Reports berkata: “Kemudian baru ibunya teringat pernah melihat kanak-kanak itu meletakkan manik berkenaan di dalam telinganya sekitar usia dua tahun. Kanak-kanak ini amat bernasib baik tidak mengalami kecederaan lebih serius disebabkan objek asing itu tidak bergerak.

“Barangan asing organik di dalam badan mampu menyebabkan kerosakan kekal, contohnya jika objek itu adalah bateri butang.”

Kes itu susulan pakar pada November lalu mengumumkan putik kapas tidak patut digunakan untuk membersihkan telinga.

Menurut Institut Kebangsaan Kesihatan dan Penjagaan, penggunaan putik kapas mungkin menolak kotoran lebih jauh ke dalam telinga seterusnya mengakibatkan kecederaan lebih teruk.

Sebaliknya, tahi telinga akan keluar sendirinya dan amalan terbaik adalah membersihkan bukaan ke telinga menggunakan kain lembap.

Sumber– Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com