Demi Negara Arul Kanda Ketepikan Gaji Lumayan


KUALA LUMPUR - Semangat patriotik yang tinggi membuatkan Arul Kanda Kandasamy memilih untuk berkhidmat di 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan menyelesaikan segala kemelut yang melanda syarikat strategik negara itu.

Jika diikutkan hatinya, beliau tiada ada masalah menerima tawaran atau terus bekerja di syarikat luar negara dengan gaji yang lebih tinggi, namun sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, beliau memilih mencurahkan bakti membantu negara.

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari London School of Economics dan Sarjana Undang-Undang Universiti College London, berkata dengan pengetahuan dan kepakaran yang dimiliki, tidak salah untuk berbudi di tanah air sendiri.

"Kalau setakat nak makan gaji, pendapatan saya di Abu Dhabi dulu lebih lumayan.

"Namun, sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai kebolehan dalam penstrukturan semula, perbankan dan undang-undang, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk membantu dan menyelesaikan isu 1MDB.

"Justeru, saya hendak diingati sebagai seorang rakyat Malaysia yang mempunyai kelebihan dan mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan isu di syarikat ini (1MDB)," katanya dipetik portal therakyat.com selepas sesi ceramah dan penerangan mengenai 1MDB dalam program Bicara Subang.

Program bicara itu anjuran Kelab Sahabat N87 di USJ15 dekat Subang malam tadi.

Sebelum berkhidmat di 1MDB, Arul Kanda pernah memegang jawatan Timbalan Presiden Eksekutif dan Ketua Perbankan Pelaburan Abu Dhabi Commercial Bank serta ahli lembaga pengarah Global Investment House (Kuwait).

Arul Kanda bersyukur kerana keputusan melepaskan jawatannya di dua entiti perniagaan antarabangsa itu tidak mendapat tentangan, malah keluarganya memahami apa yang sedang beliau lakukan ketika ini kerana merasakan tiada siapa mahu memikul tugas di 1MDB.

Walaupun ramai pihak menganggap apa yang dilakukannya adalah satu tugas yang berat dan pasti memberi tekanan kepadanya, beliau sebaliknya tidak begitu tertekan dengan tanggungjawab yang dipikulnya.

"Saya tidak begitu tertekan dalam menguruskan 1MDB sebab saya tidak melakukan sebarang kesalahan. Saya bukan buat masalah, (tetapi) saya datang sebagai orang yang hendak menyelesaikan masalah.

"Saya juga tidak dapat lari daripada berasa geram apabila pihak pembangkang cakap bukan-bukan mengenainya seolah-olah saya seorang yang harus dipertanggungjawabkan atas masalah yang melanda 1MDB,"katanya.

Dalam program itu juga, beliau mengumumkan bahawa kontraknya di 1MDB yang tamat pada 31 Disember tahun lalu sambil berkata ia diputuskan berdasarkan persetujuan bersama.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com