DAP Umum Sendiri Calon Menteri, Terserlah Sikap Dominan


ALOR SETAR  - Tindakan pemimpin DAP mengumumkan sendiri calon menteri untuk kabinet bayangan gabungan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) membuktikan secara terang akan sikap dominan pemimpin DAP dalam gabung pembangkang PKR.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyelar tindakan itu sebagai janggal selain membelakangkan sekutunya ekoran pemimpin yang hanya layak berbuat demikian adalah calon Perdana Menteri yang dinamakan mereka sebelum ini.

“Daripada awal lagi saya menyatakan bahawa Pakatan Harapan dikuasai DAP. DAP yang menguasai pakatan ini. Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya diperalatkan untuk dinamakan sebagai Perdana Menteri tetapi yang menguasai adalah DAP. Sebab itu Lim Guan Eng boleh cakap Nga (Kor Ming) boleh jadi menteri kalau Pakatan Harapan menang.

“Sepatutnya biarlah calon Perdana Menteri (Dr. Mahathir) yang umumkan itu,” kata Menteri Pendidikan itu.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Kolej Sultan Abdul Hamid di sini, semalam.

Mahdzir mengulas mengenai tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng ketika ceramah di Teluk Intan, Perak baru-baru ini bertindak mengumumkan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming tidak sekadar calon di kawasan itu malah akan dilantik sebagai menteri jika gabungan pembangkang PKR itu menang dalam PRU-14.

Ujar Mahdzir, sesungguhnya DAP tergamak melakukan apa sahaja termasuk memperalatkan sesiapa sahaja untuk berkuasa di negara ini.

“Mereka dua beranak, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng akan gunakan apa sahaja dan peralatkan sesiapa sahaja yang penting untuk dapat kuasa politik dalam negara. Itu sahaja niat mereka.

“Sebab itu dalam kes Dr. Mahathir, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ibrahim daripada PKR dan Mat Sabu (PAN), dia tidak perduli, dia gunakan orang-orang ini sahaja untuk diperalatkan bagi mencapai matlamat di mana DAP berkuasa untuk jadi pemerintah di negara ini. Tidak kiralah biar Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Wan

Azizah sesiapa saja yang boleh diperalatkan untuk tipu rakyat, yang penting mereka capai matlamat,” katanya memetik Utusan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com