Dakwaan Jet Disabotaj Perang Saraf Burukkan BN - Azalina



KOTA TINGGI - Dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa jet peribadi yang sepatutnya dinaiki beliau disabotaj pada Jumaat lalu, disifatkan sebagai perang saraf untuk memburukkan Barisan Nasional (BN).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata strategi itu dijangka digunakan sebagai 'persediaan' pembangkang menyalahkan BN sekiranya kalah pada pilihan raya kali ini.

"Saya rasa itu strategi kempen pilihan raya, cubaan untuk mendapat simpati. Saya yakin kemungkinan ramai calon parti pembangkang akan kalah, sebab nampak gayanya tsunami biru (BN) lebih menyerlah.

"Mungkin ini adalah persediaan dari segi gerak saraf, 'psy-war' supaya seolah-olah kekalahan mereka (pakatan pembangkang) disebabkan sabotaj kerajaan BN," katanya ketika ditemui pada program Ramah Mesra Bersama Peniaga di Kawasan Perniagaan Felda Sungai Mas di sini, hari ini.

Azalina yang juga calon BN di Parlimen Pengerang berkata, beliau tidak terperanjat dengan dakwaan berkenaan.

Mengulas mengenai tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menolak pencalonan beberapa calon pembangkang pada proses penamaan semalam, Azalina menyifatkan perkara itu berlaku kerana kesilapan pihak berkenaan sendiri.

Katanya, parti pembangkang yang mempunyai ramai peguam handal sepatutnya tahu undang-undang tetapi mereka masih meletakkan calon yang mereka tahu mempunyai masalah dari segi undang-undang.

"Bagi saya, peguam mereka tidak begitu pandai atau kemungkinan peguam mereka tidak tahu baca undang-undang atau kemungkinan calon mereka tidak faham undang-undang.

"Mereka tidak wajar salahkan SPR mengatakan SPR berat sebelah. Bagi saya the law is the law (undang-undang tetap undang-undang), " katanya.

Azalina berkata, pembangkang patut menyalahkan diri sendiri kerana meletakkan calon yang tidak mempunyai kelayakan yang sewajarnya.

Pada program Ramah Mesra Bersama Peniaga tadi, Azalina yang turut disertai calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, bertemu kira-kira 50 peniaga bagi menyerahkan kain rentang kempen untuk digantung di premis perniagaan masing-masing.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com