Cuti 10,000 Pegawai, Anggota Bomba Dibeku Sempena PRU-14


PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membekukan cuti kira-kira 10,000 pegawai dan anggotanya di seluruh negara sebagai persediaan kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim, berkata arahan pembekuan cuti bermula pada hari penamaan calon iaitu 28 April ini sehingga seminggu selepas berakhirnya PRU-14 membabitkan pegawai dan anggota dari bahagian operasi.

Beliau berkata, JBPM bertanggungjawab memantau isu keselamatan bagi melancarkan proses pilihan raya terutama berkaitan keselamatan premis dan bangunan seperti pusat pengundian serta pusat pengiraan undi.

Katanya, JBPM bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi membuat pemeriksaan di premis berkaitan bagi memastikan sistem keselamatan kebakaran dipatuhi dan berada dalam keadaan selamat.

"Selain itu, pada hari pengundian, pegawai dan anggota JBPM akan ditempatkan di kawasan tertentu seperti pusat pengundian dan pengiraan undi sebagai langkah persediaan awal bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini seperti kebakaran serta sebagainya.

"Kita juga bersiapsiaga dari segi logistik jika keadaan memerlukan untuk kami membantu melancarkan proses pilihan raya nanti," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat JBPM, di sini, semalam.

Selain itu, pada majlis berkenaan turut diadakan Istiadat Penganugerahan Pingat Kebesaran JBPM yang menyaksikan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda menerima Pingat Ketua Pengarah Bomba.

Turut dilancarkan adalah Program Pertanian Bandar kerjasama antara JBPM dan Jabatan Pertanian bagi menggalakkan anggota di balai bomba seluruh negara menggunakan tanah kosong di kawasan balai untuk aktiviti pertanian.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com