Cuaca Panas Undang Musibah


CUACA panas boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan antaranya berlaku kecelaruan fikiran dalam melakukan sesuatu.

Ini disebabkan minda tidak berupaya memberikan tumpuan kepada apa yang perlu dilakukan hingga menjejaskan kehidupan harian.

Pengalaman berhadapan situasi itu, Zulkifli Ahmad, berkata kesan suhu panas melampau pada 2016 meninggalkan pengalaman paling getir dalam hidupnya.

Beliau yang bertugas sebagai jurutera, berkata suhu panas kesan daripada dilanda El Nino mencecah 42 darjah celsius apabila kepanasan melampau itu hampir meragut nyawanya.

Panas hingga koma

Kerjaya dalam bidang kejuruteraan kaca dan aluminium mendedahkan Zulkifli, 56, kepada cahaya panas sehingga beliau pengsan dan koma selama sembilan hari.

Dalam ketika kejadian pada 18 Mac 2016 itu, beliau sibuk menyiapkan kerja yang diamanahkan di sebuah politeknik di Pulau Pinang.

"Seminggu sebelum pengsan dan tidak sedarkan diri, saya mengalami kecelaruan fikiran atau kekeliruan dalam melakukan sesuatu.

"Sebagai contoh, dalam fikiran hendak minum tetapi tidak tahu sama ada perlu ambil cawan dulu atau minum dulu," katanya yang dihubungi, baru-baru ini.


Diserang strok haba

Zulkifli berkata, kesan kekeliruan itu banyak kerja dibuat berkali-kali tetapi tertangguh termasuk ketika hendak melakukan tugas memasang penyidai pakaian. Ketika itu, beliau tidak mengetahui mana yang hendak dimulakan dahulu.

Beliau mengakui kurang minum walaupun terdedah cuaca panas sehingga menyebabkan rebah ketika hendak mengambil wuduk.

Ketika itu juga Zulkifli diserang sawan dan tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke hospital Seberang Jaya.

"Saya koma sembilan hari dan ditempatkan di dalam wad penjagaan intensif karonari (CCU). Apabila sedar saya tidak boleh bergerak dan hanya bernafas menerusi alat bantuan pernafasan," katanya.

Masih jalani rawatan

Doktor memaklumkan Zulkifli mengalami serangan strok haba, pada masa sama juga ada beberapa kes sama dirujuk di hospital berkenaan, dua daripada mereka meninggal dunia.

Zulkifli bersyukur kerana diberi peluang kedua menikmati kehidupan seterusnya, namun ternyata kesan gejala itu tidak terhenti di situ. Kesannya beliau berhadapan masalah jantung dan buah pinggang.

Beliau sudah menjalani dua pembedahan angiogram untuk memasukkan stent di dalam salur darah jantung dan batu karang di dalam buah pinggang.

"Sehingga ini, saya masih menjalani rawatan buah pinggang kesan daripada strok haba," katanya.

Info

Langkah menyelamatkan mangsa strok haba:

-Bawa mangsa ke tempat teduh serta berangin.
-Longgarkan baju sekiranya ketat.
-Baringkan mangsa dengan mengangkat sedikit kaki, dalam kedudukan selesa.
-Letakkan pek ais pada leher, ketiak dan kelengkang mangsa.
(Kawasan banyak kelenjar peluh, bila ada perbezaan suhu, haba akan keluar)
-Pasang kipas sekiranya ada.
-Beri minum air kosong kalau mangsa sudah sedar.
-Dapatkan bantuan kecemasan dan bawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Langkah mencegah strok haba:

-lakukan aktiviti riadah semasa suhu selesa.
-minum air kosong antara 1.8 liter ke 2.5 liter sehari, berdasarkan berat badan.
-kurangkan minum air manis dalam cuaca panas.
(meningkatkan kadar gula dalam badan dan menyebabkan kencing lebih kerap).
-minuman isotonik boleh menggantikan garam dalam badan.
(pastikan ia tidak mengandungi kadar gula yang tinggi)
-memakai pakaian yang sesuai untuk cuaca panas.

Sumber:BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com