Cuaca Panas, SK Permatang Karat Telunjuk Galak Murid Minum Air Kosong


ALOR SETAR - Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Kerat Telunjuk, di Bandar Baharu telah menganjurkan Kempen H2O iaitu minum air kosong di sekolah tersebut pada Isnin.

Hal ini disebabkan keadaan cuaca di negara ini yang tidak menentu terutama keadaan panas terik.

Menurut Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Nor Arzila Abdul Rashid berkata, pihaknya mengambil inisiatif berkenaan bagi menggalakkan pelajar dan warga sekolah mengamalkan minum air kosong sekurang-kurangnya satu liter ketika berada di sekolah.

Katanya seperti dilaporkan MyMetro, dalam keadaan cuaca sekarang ini yang kadang-kadang panas terik menyebabkan pihaknya berasakan pelajar perlu minum air dengan banyak terutama mereka yang aktif.

“Objektif sebenar PIBG pada kempen ini selain faktor cuaca ialah menerapkan amalan hidup sihat kepada pelajar dan warga sekolah agar dapat mengelakkan daripada penyakit akibat cuaca.

“Minum air kosong yang mencukupi juga mempunyai khasiat yang banyak di samping membantu sistem pencernaan, perkumuhan dan peredaran darah.

“Dengan meminum air kosong juga ia memberi kecergasan kepada pelajar untuk lebih fokus ketika berada di dalam kelas selain dapat mengelakkan mengantuk dan penyakit lain,” katanya ketika ditemui. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com