'Cintanya Kepada Palestin Amat Mendalam'


KUALA LUMPUR - Dr Fadi M R Albatsh disifatkan sebagai seorang rakyat Palestin yang amat mencintai negaranya dan sering berkongsi kisah mengenai Palestin kepada pelajarnya.

Seorang pelajarnya, Aida Sakinah Mohd Fauzi, 22, berkata Allahyarham yang fasih berbahasa Melayu sangat berbangga dilahirkan di Palestin dan kerap menceritakan kisah keluarganya serta penindasan dialami rakyat Palestin.

"Saya pernah mengikuti kuliahnya ketika saya dalam proses menyiapkan projek tahun akhir. Dia seorang yang amat baik kepada semua pelajarnya.

"Dia kerap berkongsi kisah keluarganya dan penindasan rakyat Palestin, sering memaklumkan kepada kami bagaimana dia amat bangga dilahirkan di Palestin.

"Pejabatnya dipenuhi pelbagai poster mengenai Gaza dan perjuangan warga Palestin menentang kekejaman rejim Zionis, saya amat terkejut mendengar berita pembunuhannya hari ini," katanya ketika ditemui, semalam.

Seorang lagi pelajarnya, Nuran Nadhirah Noor Azmi, 24, berkata dia mula mengenali Allahyarham ketika berada di semester tiga.

"Arwah seorang pensyarah yang rajin membantu pelajar, penyabar, suka melayan kerenah pelajar, tidak pernah meninggikan suara dan tidak pernah kedekut untuk berkongsi ilmu.

"Beliau juga tidak pernah lekang daripada membaca ayat suci al-Quran ketika mempunyai masa lapang.

"Masih terngiang lagi ayat terakhirnya, memohon maaf kerana tidak dapat menjadi panel untuk pembentangan projek tahun akhir kami, kerana dia akan berangkat ke Turki selama 10 hari.

"Pemergian arwah sangat memberi impak kepada pelajar kerana tiada lagi senyuman manisnya, ramah mesra dan kata-kata semangat yang sering diberikan kepada kami," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com