China Letak Pembersih Udara Gergasi Atasi Pencemaran


XIAN - China menemui cara terbaik menangani masalah pencemaran udara besar-besaran dihadapinya dengan meletakkan pembersih udara bersaiz cerobong asap industri di tengah bandar yang diselubungi kabut itu.

Berbanding mengepam keluar asap hitam dari cerobong seperti dilakukan kilang di wilayah utara Shaanxi, struktur berketinggian 60 meter di pinggir ibu kota ini mengeluarkan udara bersih.

Berdiri di antara bangunan tinggi, peranti itu berupaya membersihkan antara lima juta dan 18 juta isi padu udara setiap hari, bergantung kepada cuaca, musim dan tahap pencemaran, menurut laporan laman web China, Thecover.cn.

Menara itu dapat mengurangkan kepadatan PM 2.5, partikel kecil bawaan udara dianggap paling berbahaya terhadap kesihatan antara 10 dan 19 peratus dalam kawasan 10 kilometer persegi, kata laman web itu.

PM 2.5 dikatakan punca utama penyakit jantung, strok dan paru-paru seperti emfisema dan kanser. Kemudahan itu, yang dibina pada Jun 2016 hanyalah satu eksperimen. Namun perekanya berharap menara sama dapat dibina di seluruh negara.

Seorang pakar alam sekitar di Akademi Sains China memberitahu media, 100 menara diperlukan untuk menampung keperluan bandar dengan keluasan 1,000 kilometer persegi. -AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com