Chef John Pernah Buat Rakaman Masak Rendang Di Malaysia


PETALING JAYA - Juri Masterchef UK, John Torode yang namanya sedang hangat diperkatakan mengenai isu rendang 'crispy' sebenarnya telah membuat 10 bahagian siri penjelajahan makanan ke Malaysia.

Siri berkenaan, 'Malaysian Adventure' telah pun disiarkan di saluran Good Food di United Kingdom pada 2015.

Menerusi salah satu episod yang dirakamkan di Langkawi, dia telah mempelajari cara untuk memasak rendang itik dengan seorang chef tempatan.

Bagaimanapun, dia dalam episod itu dilihat sekadar mencuba kuah rendang sahaja dan bukan ayam rendah yang dimasak, sebelum menunjukkan isyarat sedap bagi menggambarkan keenakan rasanya.

Isu rendang ini hangat diperkatakan apabila seorang peserta Malaysia, Zaleha Kadir Olpin dikritik oleh juri Masterchef UK, Gregg Walace sehingga dia disingkirkan dari rancangan itu.

Malah, Torode turut menambah bahawa rendang ayam berkenaan dibuat dengan salah dan kulitnya tidak cukup rangup.

Reaksi terbaharu Torode di laman Twitter turut menambah lagi kemarahan warga tempatan terhadap isu berkenaan.

Torode menulis bahawa rendang berkemungkinan adalah masakan Indonesia sebelum menggunakan ucapan Namaste di penghujung 'tweet' berkenaan.

Kebanyakan pengguna Twitter berpendapat dia cuba mengalihkan isu itu sehingga menyebabkan rakyat negara ini, Indonesia, Singapura dan Brunei bergabung bagi mempertahankan hidangan nusantara itu.

Dalam pada itu, Torode sebelum ini pernah berkata bahawa rendang merupakan salah satu hidangan kegemarannya menerusi satu temubual di laman web Good Food.

"Saya sentiasa membuat rendang. Ia adalah salah satu hidangan kegemaran saya.

"Saya mengembara ke Malaysia pun kerana hidangan hebat itu. Pastinya banyak rendang di sana (Malaysia)," katanya.



Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com