Cermin Kereta Dipecah, Pemandu Wanita Cedera Disimbah Asid


PORT DICKSON – Entah apa sebabnya, seorang wanita berusia 40-an cedera disimbah asid ketika berhenti di lampu isyarat berhampiran sebuah sekolah di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa yang memandu kenderaaan utiliti sukan (SUV) jenis Hyundai Santa Fe dikatakan dalam perjalan dari arah Lukut ke bandar ini sambil ditemani teman lelakinya.

Setibanya di lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Jumaat, kenderaan mangsa secara tiba-tiba disergah dua lelaki menaiki motosikal dari sebelah kanan.

Salah seorang dari lelaki terbabit memecahkan cermin sebelah pemandu menggunakan objek keras dan menyimbah cecair berkenaan ke arah mangsa.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supretenden Zainudin ahmad berkata kedua-dua suspek kemudian memecut laju meninggalkan lokasi kejadian dan orang ramai yang menyaksikan insiden membantu mangsa yang mengalami kemalangan.

“Mangsa yang juga seorang kakitangan syarikat petroleum dikatakan melecur teruk di bahagian pipi, kedua-dua tangan, peha, perut dan betis.

“Wanita itu kemudian dikejarkan ke unit rawatan kecemasan di Hospital Port Dickson bagi menerima rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu teman lelakinya yang turut berada di dalam kenderaan itu bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Katanya lagi, siasatan awal mendapati mangsa tidak mengenali suspek dan mendakwa tidak mengesyaki sesiapa dalang kejadian itu.

Kes disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com