Ceramah Mereka Bagai "Mesin Penipuan Dan Fitnah"


ALOR SETAR - Biarpun Parlimen belum dibubarkan dan pemimpin Pakatan Harapan begitu ghairah menganjurkan ceramah politik meskipun belum lagi fasa tempoh berkempen, ia dilihat sebagai bukti demokrasi begitu subur di negara ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Kedah, Dato' Shaiful Hazizy Zainol Abidin walau bagaimanapun berkata, ceramah-ceramah anjuran Pakatan Harapan itu saling tak tumpah bagaikan "mesin penipuan dan fitnah" menjelang musim pilihan raya.

"Ceramah pembangkang adalah hanya bersifat stereotaip, dan bermusim.

"Pemuda Kedah menyifatkan ceramah Pakatan Harapan adalah sebuah 'mesin penipuan dan fitnah' yang dihidupkan apabila tiba musim pilihanraya," katanya dalam satu kenyataan kepada Kedahnews.com.

Namun begitu kata beliau, rakyat yang mendengar intipati ceramah Pakatan Harapan itu berkemungkinan besar akan kecewa di kemudian hari ekoran tidak ada sebarang agenda baharu yang lebih realistik untuk negara ini.

Malah kata, selain pembohongan dan fitnah, mereka yang hadir turut diajar mengeluarkan kata-kata kesat dan menyemai sikap memaki hamun di kalangan mereka.

"Sebahagian besar akan kecewa kerana tak ada agenda baru untuk negara. Yang ada hanyalah kata nista dan maki hamun. PRU ke-12 dan ke-13 tunjuk trend yang sama," katanya lagi.

Pun begitu, Shaiful Hazizy menegaskan bahawa rakyat khususnya para pengundi di negeri Kedah dapat menilai sendiri dengan waras dan rasional tentang simptom-simptom tidak sihat pada Pakatan Harapan itu.

Justeru itu, beliau yakin bahawa berdasarkan pengamatan mereka yang bijak memilih, mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan Pakatan Harapan, sebaliknya memilih Barisan Nasional (BN) yang lebih meyakinkan dan praktikal.

"Akhirnya, rakyat berikan mandat kpd BN," ujar beliau.

Pakatan Harapan baru-baru ini aktif menganjurkan ceramah-ceramah politik mereka di sekitar Kedah.

Meskipun kelihatan ramai yang hadir di ruang sempit yang sengaja dipilih begitu, namun difahamkan majoriti yang hadir itu adalah penyokong yang sama, termasuk "diimport" dari beberapa daerah lain dan luar Kedah. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com