Calon PKR, PAN Tiada Peluang Jadi MB Kedah?


Calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) tidak mempunyai peluang untuk dipilih sebagai Menteri Besar jika Pakatan Harapan mengambil alih Kedah.

Ini kerana dua nama daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) disebut sebagai calon Menteri Besar Kedah sekiranya blok pembangkang itu memenangi negeri itu pada PRU-14.

Dua calon tersebut ialah Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas Exco PAS, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Anak Bukit, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah.

Kedua mereka dikatakan paling layak untuk menyandang jawatan penting tersebut memandangkan pengaruh dan pengalaman masing-masing.

Memetik laporan MalaysiaGazette dan Kedahnews, pucuk pimpinan masih dalam peringkat meneliti beberapa faktor, antaranya siapa yang lebih berpengaruh dan lebih disukai dengan rakyat.

“Pengumuman mungkin hanya akan dibuat semasa tempoh berkempen sebaik penamaan calon nanti,” kata laporan itu.

Namun jika Pakatan Harapan gagal merampas Putrajaya, Mukhriz lebih berpeluang kembali ke Kedah jika negeri jelapang padi itu dikuasai Pakatan.

Ia bukan kerana Mukhriz pernah menjadi Menteri Besar, tetapi kerana pengaruh bapanya Tun Dr. Mahathir.

Amiruddin menyertai PPBM pada November tahun lalu sebelum itu melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua PAS Kuala Kedah pada Mei 2016.

Pada awalnya PKR dan PAN juga berhasrat untuk memilih calon mereka di kedudukan itu jika Pakatan Harapan berjaya menguasa Kedah.

Namun pencabar utama BN, iaitu PAS memasang hasarat  untuk menawan negeri ini kembali seperti mana yang dicapai pada PRU12.

Perebutan untuk menduduki jawatan Menteri Besar antara parti dalam Pakatan Harapan dan PAS juga menarik perhatian walaupun Barisan Nasional menjangkakan akan mendapat mandat rakyat Kedah pada PRU14. - Kedahnews.com.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com